Maguire Bukan Lagi Kapten United

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

LONDON – Harry Maguire secara rasmi akan kehilangan lilitan lengan sebagai kapten di Manchester United minggu ini sekalipun jika dia kekal di kelab gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.

Setakat ini Maguire masih memegang peranan sebagai kapten kelab, walaupun hanya bermula dalam lapan perlawanan EPL musim lalu.

Pengurus Erik ten Hag akan berbincang dengan pemainnya dalam beberapa hari akan datang bagi mendapatkan pandangan mereka.

Bruno Fernandes, ketua pasukan bagi babak kedua saingan musim lalu, dilihat akan diberi peranan sepenuh masa kali ini.

Maguire, 30, berada di belakang Lisandro Martinez, Raphael Varane, Victor Lindelof dan Luke Shaw dalam senarai hirarki pemain pertahanan.

Tawaran terhadapnya agak terhad namun kenaikan gaji disebabkan United kembali ke kancah Liga Juara-Juara menyebabkan ramai yang tidak berminat.

Ada minat dipamerkan West Ham sebelum ini – perpindahan secara pinjaman ditolak pada Januari lalu – manakala Spurs dan Newcastle turut dikaitkan dengan bidaan.

United perlu menjual pemain untuk menjana lebih banyak pembelian besar susulan kehadiran Mason Mount dengan harga £55 juta (RM329 juta) dan dengan kemelut pemilikan kelab menjejaskan perancangan Ten Hag.

Maguire mempunyai baki dua tahun dalam kontraknya tetapi menyedari tempatnya dalam pasukan England berisiko jika dia terkeluar daripada skuad utama.

United mesti berdepan hakikat kerugian besar selepas membelinya dari Leicester dengan harga £85 juta (RM509 juta) pada 2019.

Jika mereka menemui pembeli sekalipun, kelab itu mungkin terpaksa membayar kepada pertahanan tengah itu untuk mengimbangi sebarang pemotongan gajinya yang bernilai hampir £200,000 (RM1.19 juta) seminggu.

– BERITA HARIAN