Mahkamah Sweden membatalkan larangan protes membakar al-Quran

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

STOCKHOLM: Mahkamah Sweden hari ini membatalkan tindakan polis untuk mengharamkan dua protes membakar al-Quran.

Pembatalan itu dibuat walaupun lima suspek Islam sudah ditangkap kerana merancang “tindakan pengganas” berhubung demonstrasi yang sama.

Pembakaran kitab suci Islam di luar kedutaan Turki di Stockholm pada Januari lalu menimbulkan kemarahan dunia sehingga mencetuskan protes berminggu-minggu serta terdapat gesaan untuk memboikot barangan Sweden dan menahan tawaran keanggotaan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

Mahkamah Pentadbiran Tertinggi Sweden membatalkan keputusan polis untuk mengharamkan dua protes berikutan pembakaran al-Quran kerana terdapat kebimbangan risiko keselamatan tidak mencukupi untuk mengehadkan hak untuk berdemonstrasi.

Hakim, Eva-Lotta Hedin, dalam kenyataan berkata, pihak polis tidak mempunyai sokongan yang mencukupi untuk keputusannya.

Polis Sweden enggan membenarkan pembakaran al-Quran di luar kedutaan Turki dan Iraq di Stockholm pada Februari dengan mengatakan bahawa protes yang diadakan pada Januari itu telah menjadikan Sweden “sasaran keutamaan yang lebih tinggi untuk serangan”.

Ankara telah menyekat tawaran NATO Sweden kerana menganggap ia sebagai kegagalan Stockholm untuk membanteras kumpulan Kurdish yang didakwa sebagai “pengganas”.

Ahli politik Sweden telah mengkritik pembakaran al-Quran tetapi mempertahankan hak kebebasan bersuara.

Sementara itu, Perkhidmatan Keselamatan Sweden berkata lima suspek ditahan hari ini ketika serbuan di tengah bandar Eskilstuna, Linkoping dan Strangnas.

“Perkhidmatan Keselamatan Sweden sedang mengusahakan satu kes, berkaitan dengan pembakaran al-Quran berprofil tinggi,” kata Timbalan Ketua Perkhidmatan Keselamatan Unit Antikeganasah, Susanna Trehorning.

Beliau berkata, suspek dikaitkan dengan “ekstremisme Islam” antarabangsa.

Bagaimanapun, Perkhidmatan Keselamatan berkata pihaknya tidak percaya serangan itu berlaku.

“Perkhidmatan Keselamatan selalunya perlu bertindak awal untuk mengelak ancaman. Kami tidak boleh menunggu sehingga jenayah sudah berlaku dan kemudian baru kami bertindak,” katanya dalam satu kenyataan. – AFP