Seremban: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini memutuskan kematian remaja perempuan Perancis-Ireland, Nora Anne Quoirin, dua tahun lalu, bukanlah disebabkan oleh peristiwa malang atau nahas (misadventure).
Sebaliknya, Hakim Azizul Azmi Adnan menggantikan punca kematian remaja itu dengan keputusan terbuka dan membatalkan keputusan Mahkamah Koroner pada 4 Januari lalu.
Sebelum ini, Koroner Maimoonah Aid memutuskan bahawa kematian Nora Anne Quoirin adalah disebabkan nahas.
Maimoonah dalam keputusan inkues remaja itu berkata, selepas mendengar semua keterangan, beliau mendapati tiada pembabitan pihak ketiga dalam kes berkenaan dan kematian mangsa bukan berpunca daripada unsur jenayah.
Terdahulu, Azizul dalam penghakimannya yang disampaikan menerusi prosiding dalam talian berkata, mahkamah koroner silap dalam membuat keputusan misadventure.
Katanya, adalah sangat sukar untuk seseorang dengan keadaan fizikal seperti Nora Anne untuk meninggalkan tempat tinggal itu sendiri.
“Untuk mangsa berada di tempat di mana mayatnya ditemui, Nora Anne perlu melalui kawasan sungai berbatu, menaiki dan menuruni kawasan curam.
“Kawasan itu sememangnya mencabar bagi individu yang memiliki keadaan fizikal sempurna dan mempunyai persiapan peralatan,” katanya.
Mahkamah mendapati adalah sangat tidak mungkin untuk Nora Anne mengemudi laluan sama dengan hanya berkaki ayam.
Katanya, masalah keseimbangan dan koordinasi badan selain keadaan mangsa yang cepat letih, mahkamah berpendapat bahawa kematian Nora Anne bukan disebabkan oleh kecelakaan.
“Nora Anne adalah seorang remaja yang pemalu, tidak mempunyai rasa ingin tahu dan tidak suka dengan pengembaraan serta sangat bergantung secara emosi dengan kedua ibu bapanya,” katanya.
“Dengan bukti di hadapan mahkamah, saya dapati keputusan misadventure perlu dibatalkan demi kepentingan keadilan dan mengembalikan keputusan terbuka,” katanya.
Katanya, mahkamah mengucapkan takziah kepada keluarga Quoirin.
“Anda datang ke Malaysia untuk percutian keluarga namun tetapi dilanda tragedi yang sukar untuk difahami ramai.
“Kami harap proses ini, dalam cara tertentu dapat membantu anda menuju ke arah penyembuhan,” katanya.
Sejumlah 48 saksi termasuk ibu bapa remaja itu, Meabh Jaseprine Quoirin dan Sebastien Quoirin memberikan keterangan pada prosiding inkues yang bermula pada 24 Ogos tahun lalu.
Nora Anne didapati hilang pada 4 Ogos 2019, sehari selepas beliau serta keluarganya tiba di Malaysia untuk percutian dua minggu di sebuah pusat peranginan di Pantai, Seremban dan 10 hari kemudian, mayatnya ditemukan berhampiran sebatang anak sungai di sebuah lurah kira-kira 2.5 kilometer daripada pusat peranginan tersebut susulan operasi pencarian besar-besaran oleh pihak berwajib.
Laporan awal bedah siasat menyatakan kematian remaja itu, yang dikategorikan sebagai orang kurang upaya, tidak mempunyai unsur jenayah dan mangsa disahkan meninggal dunia akibat pendarahan usus disebabkan kebuluran serta tekanan berpanjangan.
Sumber: My Metro