MAIDAM Laksana Projek Hemodialisis Sebagai Wakaf Kesihatan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA TERENGGANU- Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) telah berjaya melaksanakan projek Pusat Hemodialisis Wakaf Terengganu dengan kerjasama Bank Rakyat dan Persatuan Pesakit Buah Pinggang Negeri Terengganu.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu, merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah MAIDAM Property Sdn Bhd, YB. Dato’ Shaikh Harun bin Shaikh Ismail, projek besar wakaf yang telah dilaksanakan oleh MAIDAM adalah wakaf kesihatan iaitu dengan pembinaan pusat hemodialisis untuk pesakit buah pinggang.

Setakat ini, empat buah klinik rawatan hemodialisis sumbangan MAIDAM sudah dibina iaitu di Besut, Dungun, Kuala Nerus, dan Kuala Terengganu.

“InshaAllah pada awal tahun depan saya sedang rancang nak buat satu lagi di Kemaman,” beliau berkata demikian di sebuah wawancara bersama Manisfm dalam segmen Manis Sokmo yang bertajuk kepentingan berwakaf.

Tambahnya lagi, bangunan dan peralatan serta mesin-mesin dialisis dibiayai oleh MAIDAM daripada sumbangan wakaf dan para pesakit dikalangan asnaf juga akan ditanggung sepenuhnya oleh pihak MAIDAM.

Beliau memaklumkan bahawa MAIDAM telah membelanjakan lebih dari RM1 juta setahun bagi pesakit buah pinggang yang merupakan golongan asnaf bagi membiayai rawatan dialisis secara percuma.

MAIDAM juga telah berjaya mengumpulkan kutipan zakat pada tahun ini iaitu hampir RM190 juta setakat ini.

Dalam pada itu, MAIDAM turut meletakkan sasaran 15% meningkat berbanding kutipan tahun lepas sebagai jumlah kutipan zakat untuk tahun ini.

“InshaAllah kalau dapat 15% ini, kita akan dapat RM236 juta,” kata Dato’ Shaikh Harun.

Sumber: UNIT BERITA MANIS FM