KUALA TERENGGANU – MAIDAM Property Sdn Bhd agensi di bawah Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) hari ini melancarkan Restoran Infaq yang berkonsepkan Makan Sambil Mederma.
Pengurus Besar MAIDAM Property Sdn Bhd, Wan Farid Imran Wan A Latif berkata restoran ini berjaya disiapkan pada bulan Julai lalu dan telah beroperasi sepenuhnya mulai bulan Ogos baru-baru ini.
“Konsep restoran adalah makan sambil menderma yang mana pelanggan yang berkunjung ke restoran ini digalakkan berinfaq khususnya kepada wakaf tunai di dalam tabung-tabung yang disediakan di restoran ini.” katanya.
“Ia secara tidak langsung akan memanfaatkan pewakaf iaitu Wakaf Tok Pelam dan pada yang masa peniaga-peniaga juga dapat menjual hasil masakan mereka” katanya ketika merasmikan pelancaran Restoran Infaq di Tanjung, Kuala Terengganu hari ini.
Restoran Infaq ini juga berkonsepkan ‘food court’ layan diri yang terdiri daripada tujuh kiosk makanan yang telah dikenali ramai dan satu kiosk minuman.
Antara kiosk makanan yang ditawarkan di sini ialah Nasik Lemak Bunian Pulau Warisan, Aneka Sup dan Colek daripada Dapur Laki Bini, Nasik Ayam Penyet Warisan Zukifflie dan banyak lagi.
Restoran ini beroperasi tujuh hari seminggu yang bermula dari pukul 7 pagi hingga 12:30 tengah malam.
Turut hadir pada majlis perasmian tersebut, Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu, Dato’ Shaikh Harun Shaikh Ismail.
Sumber : UNIT BERITA MANIS FM