Kota Bharu: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) membenarkan pelaksanaan solat Jumaat dan fardu di negeri ini mengikut kapasiti sebenar masjid bermula esok.
Yang Dipertua MAIK yang juga Tengku Temenggong Kelantan Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, solat Jumaat juga dibenarkan di halaman atau pekarangan masjid dengan penjarakan fizikal 1.5 meter.
Menurutnya, kakitangan masjid dan jemaah yang hadir menunaikan solat wajib menerima dos lengkap suntikan vaksin selain perlu memakai pelitup muka dan digalakkan memakai dua lapis pelitup muka (double mask).
“Bagi penerima vaksin jenis Pfizer, Astra Zeneca dan Sinovac, mereka diwajibkan melepasti hari ke-14 daripada tarikh suntikan dos kedua, manakala bagi penerima vaksin satu dos suntikan iaitu Johnson & Johnson dan CanSino perlu melepasi hari ke-28 daripada tarikh suntikan.
“Bagaimanapun, aktiviti lain seperti majlis zikir, kelas al-Quran dan kuliah adalah tidak dibenarkan, kelas mengaji secara dalam talian digalakkan agar pengimarahan masjid dapat diteruskan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, jemaah yang hadir ke masjid hendaklah menunjukkan bukti sijil digital vaksin melalui aplikasi MySejahtera kepada petugas masjid.
“Selain itu, kakitangan masjid dan jemaah yang hadir hendaklah membawa sejadah sendiri yang bersaiz besar dan mengambil wuduk dari rumah masing-masing sebelum ke masjid.
“Pada masa sama, bagi memastikan sistem pengudaraan yang baik dan selamat, semua pintu, tingkap dan kipas hendaklah dibuka selain penggunaan pendingin hawa di masjid, surau dan musalla tidak digalakkan,” katanya.
Menurutnya, pihak MAIK amat mengharapkan kerjasama daripada semua pihak terutama umat Islam secara amnya dalam melaksanakan ketetapan ini dan prosedur operasi standard (SOP) dinyatakan dipatuhi sepenuhnya oleh pihak pengurusan masjid, surau serta musalla.
“Jika didapati mana-mana masjid, surau dan musalla melanggar SOP yang ditetapkan, MAIK akan mengarahkan supaya ia ditutup.
“Bersama-samalah kita istiqamah dan yakin Allah SWT pasti membantu dan memperkenankan doa serta harapan semua,” katanya.
Sumber: My Metro