KOTA BHARU – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) merekodkan kutipan zakat lebih RM117 juta dari Januari hingga Jun tahun ini.
Yang Dipertua MAIK Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata kutipan itu meningkat 29 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu iaitu lebih RM91 juta.
Tengku Mohamad Rizam yang juga Tengku Temenggong Kelantan berkata kutipan itu terdiri daripada zakat pendapatan, zakat perniagaan, zakat wang simpanan, zakat fitrah dan zakat lain-lain termasuk zakat pertanian, zakat emas dan sebagainya.
“Daripada terimaan (kutipan) zakat itu, setakat ini MAIK telah membelanjakan lebih RM95 juta kepada golongan sasaran bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini berbanding lebih RM83 juta dalam tempoh sama tahun lepas.
“Agihan ini mencatatkan peningkatan sebanyak 14 peratus lebih tinggi dari tahun sebelumnya dan hanya terdapat dua kategori asnaf mencatat penurunan iaitu Bantuan Al-Gharimin dan Al-Riqab serta Bantuan Asnaf Amil,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Laporan Khas Terimaan dan Perbelanjaan MAIK bagi Januari hingga Jun 2022 di sini hari ini yang turut dihadiri Timbalan Yang Dipertua MAIK Zulkifle Ab Rahman dan Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad.
Terdahulu, Tengku Mohamad Rizam turut menyampaikan bantuan rumah kediaman asnaf MAIK bagi tahun ini kepada 180 penerima di seluruh negeri itu membabitkan peruntukan lebih RM10 juta.
Tengku Mohamad Rizam berkata MAIK merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada pembayar zakat yang konsistem bersama MAIK dengan setakat ini sejumlah 33 peratus pembayar berusia 31 hingga 40 tahun.
“Kumpulan ini menjadi kelompok terbanyak dalam menyumbangkan zakat kepada MAIK. Ia menjadi isyarat bahawa generasi muda mempunyai kesedaran yang tinggi dalam menunaikan Rukum Islam,” katanya.
Sumber : BERNAMA