MAIK saran solat hajat, doa selamat hindari Covid-19

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) menyarankan semua masjid di negeri ini melaksanakan solat hajat dan doa selamat selepas solat Jumaat bagi memerangi wabak koronavirus (Covid-19).

Yang Dipertua MAIK, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V sebagai Ketua Agama Islam Negeri sebagaimana peruntukkan Perkara 6 (1) Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan telah perkenan agar masjid negeri, bandar dan jajahan mengadakan solat hajat dan doa selamat memohon pertolongan serta perlindungan ALLAH SWT daripada wabak Covid-19 di Kelantan.

“Sehubungan dengan itu, MAIK mengarahkan masjid negeri, bandar dan jajahan untuk mengadakan solat hajat dan doa selamat selepas solat Jumaat pada 23 Oktober 2020 bersamaan 6 Rabiul Awal 1442H.
“Semua masjid di negeri ini juga diingatkan agar mematuhi semua prosedur operasi standard pencegahan wabak Covid-19 yang telah dikeluarkan oleh MAIK sebelum ini.
“Saya mendoakan agar wabak Covid-19 yang sedang mengancam negeri dan negara pada masa ini segera berakhir dan diangkat oleh ALLAH SWT,” katanya.

Dalam perkembangan lain, semalam Kelantan kembali mencatatkan satu kes terbaharu Covid-19 selepas empat hari tiada kes dicatatkan.
Jabatan Kesihatan Kelantan memaklumkan ia merupakan kes kontak rapat terhadap kes sah yang dilaporkan sebelum ini.

Sumber : SinarHarian