MAIK Sasar Kutipan Zakat RM215 juta Tahun Ini

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KOTA BHARU – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) menyasarkan kutipan zakat RM215 juta pada tahun ini.

Yang Dipertua MAIK yang juga Tengku Temenggong Kelantan Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata pihaknya mencatatkan terimaan zakat lebih RM210 juta tahun lepas berbanding RM202 juta pada 2020 dengan peningkatan sebanyak 3.7 peratus.

“Segmen terbesar terimaan zakat MAIK adalah daripada zakat pendapatan iaitu RM126 juta diikuti zakat perniagaan berjumlah RM39 juta, zakat fitrah RM9.4 juta, zakat wang simpanan RM1.9 juta dan lain-lain zakat RM1.4 juta.

“Insya-Allah tahun ini kita sasar kutipan RM215 juta walaupun masih lagi berdepan dengan penularan wabak COVID-19 namun ia dilihat masih terdapat peningkatan dari segi sumbangan zakat oleh orang ramai kepada MAIK,” katanya pada sidang media selepas Majlis Laporan Khas Terimaan dan Perbelanjaan MAIK bagi Tahun 2021, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Tengku Mohamad Rizam berkata penyumbang zakat daripada golongan muda kepada pihaknya turut meningkat yang jelas menunjukkan tahap kesedaran golongan itu mengenai zakat semakin baik.

“Penyumbang-penyumbang daripada usahawan dan perniaga muda meningkat dari segi peratusan. Kami lihat ini kerana mereka mempunyai kesedaran berbanding dahulu mereka mungkin tidak mengambil tahu berkaitan zakat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata MAIK turut melancarkan sistem e-Agihan hari ini iaitu sistem permohonan bantuan secara dalam talian bagi menggantikan sistem permohonan menggunakan borang (manual).

“Sistem ini dibahagikan kepada dua sub sistem, iaitu Sistem Permohonan Bantuan dan Sistem Kelulusan Permohonan Bantuan yang kedua-duanya berorientasikan dalam talian,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya turut memberi bantuan kepada masyarakat Orang Asli di Gua Musang yang terjejas akibat konflik harimau yang berkeliaran memasuki perkampungan mereka baru-baru ini dengan mengagihkan sumbangan RM200 kepada lebih 700 orang yang terlibat selain turut menyumbang bantuan berupa makanan.

Sumber: BERNAMA