Arau: Berikutan penularan pandemik Covid-19 yang semakin meningkat di Perlis terutama di kawasan Kuala Perlis, enam masjid di kawasan itu akan menjalani pelaksanaan aktiviti pengimarahan secara terhad, bermula hari ini.
Masjid berkenaan adalah Masjid Rahmaniah, Kuala Perlis; Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Seberang Ramai; Masjid Terapung Al-Hussain, Kuala Perlis; Masjid Al-Firdaus, Padang Besar Selatan, Kuala Perlis; Masjid Al-Munir, Jalan Batu Lima, Kuala Perlis dan Masjid Al-Mukminin, Kota Kayang.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, ketetapan berkenaan sudah mendapat limpah perkenan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail setelah meneliti perkembangan semasa penularan pandemik Covid-19 di seluruh negara termasuk Perlis.
“Rentetan peningkatan bilangan jangkitan yang tinggi di Mukim Kuala Perlis dan kawasan sekitarnya, semua masjid dalam kawasan itu dan persekitarannya adalah terbabit dengan Arahan Pelaksanaan Aktiviti Pengimarahan Secara Terhad.
“Mereka yang berada dalam kawasan terbabit adalah dilarang daripada keluar kariah untuk menunaikan solat atau hadir mengimarahkan masjid di kariah lain.
“Anggota masyarakat yang mendapati terdapatnya aktiviti berkenaan, hendaklah segera melaporkannya kepada pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs),” titahnya hari ini.
Baginda yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bertitah, sebagai langkah kawalan hanya pegawai bertugas seperti imam, bilal dan siak masjid sahaja dibenarkan hadir.
“Selain itu, jemaah masjid yang terdiri dalam kalangan Jawatankuasa Kariah Masjid dengan tidak melebihi 12 orang pada sesuatu masa turut dibenarkan hadir untuk melaksanakan aktiviti solat jemaah sama ada solat fardu lima waktu atau solat Jumaat.
“Malah, pegawai bertugas dan Ahli Jawatankuasa Kariah Masjid yang dibenarkan hadir hendaklah di bawah usia 59 tahun.
“Bagaimanapun, bagi yang berusia 60 tahun dan ke atas, mereka dibolehkan hadir dengan syarat sudah melengkapi dua dos suntikan vaksin Covid-19,” titahnya lagi.
Tuanku Syed Faizuddin dalam titahnya berkata, dalam mengurangkan risiko penyebaran wabak Covid-19, semua solat hanya akan dilaksanakan di ruang terbuka seperti di anjung masjid.
“Laungan azan akan dilaksanakan di masjid dengan gantian seruan ungkapan hay’alatain (حى على الصلاة، حى على الفل اح)kepada (صَلُّوْا فِيْ بُيُوْتِكُمْ) (Solatlah di rumah kamu) berdasarkan riwayat al-Bukhari (668) dan Muslim (699) daripada Ibn ‘Abbas RA.
“Inilah salah satu pandangan yang dibolehkan seperti yang dinyatakan oleh al-Imam al-Nawawi RH di dalam kitabnya Syarh Sahih Muslim 5/207,” titahnya.
Baginda turut melarang golongan yang terbabit dengan aktiviti rentas sempadan atau negeri sama ada dengan kebenaran atau tanpa kebenaran seperti berulang alik kerja setiap hari daripada menghadiri masjid meskipun sudah lengkap dua dos suntikan vaksin.
“Larangan ini adalah selama tempoh dua minggu dari tarikh merentas sempadan dan ini juga termasuk kepada ahli keluarga mereka yang tinggal bersama dengan golongan yang melakukan rentas sempadan, melainkan ahli keluarga mereka ini sudah lengkap dua dos suntikan vaksin.
“Golongan yang berstatus PUI (Individu Bawah Siasatan), PUS (Individu Bawah Pengawasan) dan mereka yang memiliki risiko untuk dijangkiti juga tidak dibenarkan menghadiri ke masjid sama sekali bagi mengelakkan risiko jangkitan dan penularan Covid-19,” titahnya.
Baginda menegaskan bahawa semua jemaah yang hadir ke masjid hendaklah mematuhi segala SOP keselamatan dan kesihatan seperti memakai pelitup muka.
Sumber: My Metro