Majlis Belia Malaysia gesa SOP di PPV diperketat

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR: Majlis Belia Malaysia (MBM) menggesa kerajaan supaya tegas dan memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bagi mengelakkan kesesakan luar biasa.

Ketua Penerangannya, Wan Mohd Husni Abdullah, berkata MBM turut menggesa kerajaan supaya menjaga keselamatan sukarelawan dengan mengembleng tenaga pasukan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) untuk mengawal suasana di luar PPV dan bukannya sukarelawan PPV.

Selain itu, kehadiran orang ramai jika dilihat terlalu ramai dan padat hendaklah disuraikan serta memberi keutamaan kepada individu yang sudah mendaftar vaksin terlebih awal di MySejahtera agar mereka selesa untuk hadir ke PPV tanpa kesesakan yang membimbangkan.

“MBM mengambil serius kesesakan luar biasa yang berlaku, baru-baru ini PPV di Lembah Klang disebabkan tawaran mendapatkan vaksin secara walk in.

“MBM menghargai hasrat dan usaha kerajaan mempercepatkan pemberian vaksin kepada rakyat Malaysia, khususnya di Lembah Klang untuk segera mencapai imuniti kelompok dengan membuka tawaran secara walk in.

“Tetapi ia mengundang perkara yang tidak diingini iaitu berlaku kesesakan luar biasa sehingga melanggar SOP,” katanya dalam satu kenyataan.

Wan Mohd Husni berkata, MBM amat risau apabila perkara ini berlaku kerana ia akan memberikan kesan negatif iaitu kemungkinan jangkitan yang tidak diingini, khususnya kepada sukarelawan PPV yang majoriti belia dan ahli gerakan belia.

Katanya, sebelum ini sudah terdapat kes sukarelawan dijangkiti COVID-19, lebih-lebih lagi dengan kemunculan varian Delta yang amat berbahaya.

“MBM ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada sukarelawan PPV yang rata-ratanya golongan belia atas pengorbanan khidmat negara dan amal bakti ini.

“Sesungguhnya ia adalah gambaran semangat patriotisme yang amat tinggi ditonjolkan oleh mereka khususnya dalam bulan kemerdekaan ini,” katanya.

Sumber: Berita Harian