Makan Pun Ibadah?

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Dalam Islam, setiap perkara yang dibuat dalam kehidupan seharian dianggap sebagai ibadah jika dibuat mengikut syariat Islam. Makan adalah aktiviti untuk meneruskan hidup. Makan dianggap sebagai ibadah jika dilakukan dengan niat demi Allah dan Rasulullah SAW.

Makanan memainkan peranan penting dalam hidup seseorang. Tidak disangkal lagi, makanan adalah salah satu komponen yang penting untuk meneruskan hidup.

Islam mengakui kepentingan mengambil makanan yang menyihatkan badan dan minda. Apabila badan kita sihat, akal juga akan menjadi lebih cerdas.

Perihal makanan dalam Quran

Quran dan Sunnah menyarankan pengambilan makanan yang kaya dengan khasiat dan nutrisi.

Di dalam surah Al-Baqarah ayat 168 yang bermaksud: “Wahai manusia! Makanlah dari (makanan) yang halal dan baik yang terdapat di bumi”

Selain itu, Surah An-Nahl ayat 66 juga ada menyebut tentang minuman yang berkhasiat:“Dan sesungguhnya pada binatang-binatang ternak itu, kamu beroleh pelajaran yang mendatangkan iktibar. Kami beri minum kepada kamu daripada apa yang terbit dari dalam perutnya, yang lahir dari antara hampas makanan dengan darah; (iaitu) susu yang bersih, yang mudah diminum, lagi sedap rasanya bagi orang-orang yang meminumnya”  

Hidup untuk makan atau makan untuk hidup?

Orang yang makan untuk hidup ialah orang yang menjadikan makanan sebagai tujuan hidup, berbangga dengan makanan yang dinikmati seakan-akan makanan merupakan status hidup yang perlu dibanggakan bahkan sanggup melaburkan wang yang banyak semata-mata untuk kenyang yang sementara dan bebas melanggar halal haram asalkan makanan itu lazat.

Manakala orang yang makan untuk hidup, menganggap makanan hanyalah suatu alat untuk meneruskan hidup. Jika mereka diuji dengan tiada makanan sekalipun mereka bersabar kerana makanan hanyalah alat semata-semata untuk mencapai redha Allah, bukan sebagai tujuan. Jika perlu membuat pilihan, mereka akan memilih untuk makan makanan yang halal dan baik meskipun kurang enak, berbanding makanan yang haram meskipun lazat. Islam mementingkan konsep makan secara berpada-pada dan  memastikan pengambilan makanan yang sihat demi kesihatan yang baik.

Kajian moden menunjukkan pengambilan makanan yang berlebihan dan diet yang tidak seimbang boleh menyebabkan penyakit obesiti, kolestrol tinggi, penyakit jantung, dan diabetes. Mencegah adalah lebih bagus dari mengubati. Oleh itu, makan berlebihan tidak digalakkan mengikut pandangan dalam Al-Quran dan Sunnah.

Firman Allah SWT dari Surah Al-A’raf ayat 31 yang bermaksud: “Wahai anak cucu Adam! Pakailah pakaianmu yang bagus pada setiap (memasuki) masjid, makan dan minumlah, tetapi jangan berlebihan. Sungguh, Allah tidak menyukai orang yang berlebih-lebihan.”

Selain itu, Hadith Rasulullah SAW juga ada menyentuh tentang pencegahan makanan berlebihan. Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud:“Tidak ada tempat yang diisi oleh anak keturunan Adam yang lebih buruk dari perutnya. Cukuplah bagi anak keturunan Adam agar makan sekadar untuk menegakkan tulang sulbinya (tulang punggung). Melainkan jika dia tidak dapat mengelak, maka isilah 1/3 untuk makanannya, 1/3 untuk minumannya, dan 1/3 untuk nafasnya.” (Musnad Ahmad, no. 17186. Sunan At-Tirmidzi)

Makanan adalah penawar

Terdapat banyak makanan yang mempunyai khasiat yang baik untuk badan manusia seperti yang dinyatakan dalam ayat-ayat Quran dan Hadith. Di antara makanan-makanan yang berkhasiat adalah madu, kurma, buah tin, susu, dan zaitun.

Di dalam Surah An-Nahl ayat 68-69 ada menyebut tentang khasiat madu: “Dan Tuhanmu mengilhamkan kepada lebah, “Buatlah sarang di gunung-gunung, di pohon-pohon kayu, dan di tempat-tempat yang dibikin manusia,”

“Kemudian makanlah dari segala (macam) buah-buahan lalu tempuhlah jalan Tuhanmu yang telah dimudahkan (bagimu).” Dari perut lebah itu keluar minuman (madu) yang bermacam-macam warnanya, di dalamnya terdapat ubat yang menyembuhkan bagi manusia. Sungguh, pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda (kebesaran Allah) bagi orang yang berpikir.”

Kurma ialah buah yang terkenal dengan khasiat nutrisi yang tinggi, juga sangat bagus untuk manusia. Nabi Muhammad SAW bersabda, “Perumpamaan seorang mukmin itu seperti pokok kurma, apa pun yang engkau ambil darinya pasti bermanfaat bagimu” (Sahih Al-Bukhari)

Zaitun juga banyak kali disebut di dalam Al-Quran:“Dan dialah yang menjadikan tanaman-tanaman yang merambat dan yang tidak merambat, pohon kurma, tanaman yang beraneka ragam rasanya, zaitun dan delima yang serupa (bentuk dan warnanya) dan tidak serupa (rasanya). Makanlah buahnya apabila ia berbuah dan berikanlah haknya (zakatnya) pada waktu memetic hasilnya, tapi janganlah berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebihan,” (Surah Al-An’am ayat 141)

Makanan yang dilarang dalam Islam

Indahnya Islam semua makanan dibenarkan untuk dimakan kecuali makanan yang memberi kemudaratan pada diri manusia. Islam begitu menjaga hak manusia dan menyuruh manusia mencari makanan yang halal lagi tayyib dan menjauhkan dari makan makanan yang memudaratkan.  Surah Al-

Firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah ayat 173, yang bermaksud: “Sesungguhnya Dia hanya mengharamkan atasmu bangkai, darah, daging babi, dan (daging) haiwan yang disembelih dengan (menyebut nama) selain Allah. Tetapi barangsiapa terpaksa (memakannya), bukan kerana menginginkannya dan tidak (pula) melampaui batas, maka tidak ada dosa baginya. Sungguh, Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang.”

Surah Al-Baqarah ayat 219 ada menyebut tentang pengharaman arak bagi umat Islam: “Mereka menanyakan kepadamu (Muhammad) tentang khamar dan judi. Katakanlah, “Pada keduanya terdapat dosa besar dan beberapa manfaat bagi manusia. Tetapi dosanya lebih besar daripada manfaatnya.”

Adab makan dan minum

Islam juga mementingkan etika atau adab ketika makan dan minum. Diantara adab-adab makan ialah membasuh tangan sebelum dan selepas makan, membaca “bismillah” sebelum makan, makan ketika lapar, tidak berlebihan dalam makan dan minum, duduk ketika minum, dan sentiasa berterima-kasih serta bersyukur dengan rezeki yang diberikan oleh Allah SWT.

Adab makan dan minum penting untuk difahami kerana ia simbolik sebagai hamba yang taat dan tanda kita perlu menghormati makanan.

Kesimpulan

Sebagai Muslim, ruang ibadah sebenarnya terlalu luas termasuklah dalam aspek makan dan minum. Cukup dengan makan makanan yang sihat, makanan yang baik, mengucapkan lafaz bismillah semuanya boleh dianugerahkan pahala oleh Allah. Semoga dengan usaha kita dalam menjaga aspek makan dan minum ini, menjadi asbab kita semakin dekat dengan Allah.

Sumber: IslamOnline