Makanan Berbuka Sudah Terhidang, Tak Salah Makan Dahulu Solat Kemudian

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Ramadan merupakan bulan yang diwajibkan ke atas semua umat Islam untuk berpuasa sebagaimana firman Allah dalam Surah Al-Baqarah ayat 183 yang bersabda bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu supaya kamu bertakwa.”

Erti puasa adalah menahan diri dari lapar, dahaga dan perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa bermula waktu terbitnya matahari sehingga terbenam matahari berserta dengan niat.

Apabila masuknya waktu Maghrib, lalu kita sudah boleh berbuka puasa ini kerana waktu berbuka puasa merupakan satu kegembiraan bagi orang yang berpuasa seperti yang disebutkan dalam sabda Baginda Rasulullah:

Maksudnya: “Bagi orang yang berpuasa, dia akan mendapat dua kegembiraan. Pertama, kegembiraan ketika dia berbuka puasa. Kedua, kegembiraan ketika dia bertemu dengan Tuhannya.” (Hadis Riwayat Tirmizi 766)

Tetapi, sangat diperkatakan yang mana satu kita perlu dahulukan? Berbuka puasa atau solat Maghrib terlebih dahulu?

Oleh itu, antara amalan sunnah ialah kita perlu menyegerakan berbuka puasa sebaik sahaja matahari telah terbenam yang menandakan telah masuknya waktu Maghrib.

Hal ini berdasarkan hadis Rasulullah yang diriwayatkan oleh Sahl bin Sa’d yang bermaksud: “Sentiasalah manusia itu berada dalam kebaikan selama mana mereka menyegerakan berbuka puasa.”(Hadis Riwayat Bukhari 1957)

Dalam penerangan ini, kita disunatkan untuk menyegerakan berbuka puasa. Waktu yang paling afdal ialah ketika azan dilaungkan. Selain menyegerakan berbuka puasa, sunnah untuk kita berbuka ialah dengan buah kurma dan air. Hal ini disebut dan diriwayatkan daripada Anas bin Malik yang bersabda: 

Mafhum: “Rasulullah akan berbuka dengan kurma segar sebelum menunaikan solat. Jika tidak ada kurma segar maka (baginda akan berbuka) dengan kurma kering, dan jika tidak ada kurma kering maka baginda meneguk beberapa teguk air.” (Hadis Riwayat Tirmizi 696)

Berbalik mengenai dengan isu mendirikan solat dalam keadaan makanan yang sudah dihidangkan pula terdapat hadis Rasulullah yang bersabda bermaksud: “Apabila salah seorang kamu berada di hadapan hidangan makanan, maka janganlah dia bersegera sehinggalah dia menyelesaikan hajatnya dari makanan tersebut meskipun solat telah didirikan.” (Hadis Riwayat Bukhari 674)

Justeru, kita hendaklah berbuka puasa dahulu sehingga selesai, kemudian barulah menunaikan solat Maghrib. Tetapi ingat, amalkan makan secara sederhana dan tidak terlalu banyak supaya kita dapat melakukan solat dan ibadah lain dengan hati, fikiran dan jiwa yang tenang serta dapat tertumpu ibadah kepada Allah sepenuhnya.

Sumber: MSTAR