SINGAPURA – Formula Satu (F1) dijangka tidak akan kembali ke Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dalam masa terdekat, kata ketua eksekutif litar, Azhan Shafriman Hanif.
Ia susulan negara masih dalam proses pemulihan ekonomi akibat kesan pandemik COVID-19, tetapi mungkin akan mempertimbangkan untuk kembali menganjurkan perlumbaan itu selepas dua atau tiga tahun, kata Azhan di Singapura.
Kali pertama litar Sepang menganjurkan perlumbaan itu ialah pada tahun 1999, dengan perlumbaan terakhir pada tahun 2017.
“Buat masa ini, jawapannya adalah tidak, bukan dalam masa terdekat. Mungkin dalam tempoh dua atau tiga tahun lagi apabila ekonomi sudah stabil,” kata Azhan ketika ditanya bila Malaysia bercadang untuk menganjurkan kembali perlumbaan F1.
Menurutnya, sebelum ini Malaysia menganjurkan F1 kerana mahu memperkenalkan negara di mata dunia menerusi sukan pelancongan.
Namun untuk kembali menganjurkannya, kerajaan perlu mengkaji manfaatnya untuk negara.
Azhan dan beberapa pegawai litar berada di Singapura minggu ini bagi mempromosi perlumbaan MotoGP Petronas yang akan berlangsung di Sepang pada 21 hingga 23 Oktober ini.
Ia adalah perlumbaan MotoGP pertama di Sepang selepas dua tahun dibatalkan akibat pandemik.
Spekulasi berkenaan kepulangan F1 ke Malaysia diperkatakan selepas Russia digugurkan daripada kalendar perlumbaan.
Singapura menganjurkan perlumbaan F1 di litar jalan raya pada sebelah malam dari 30 September sehingga 2 Oktober.
Menurut Azhan, Singapura membuat keputusan tepat untuk memasukkan elemen hiburan dalam perlumbaan dengan turut menganjurkan konsert dan pesta/
“Jika Formula Satu ingin kembali ke Malaysia, ia perlu disokong oleh perkara lain, bukan hanya perlumbaan. Perlu ada tujuan lain mengapa kami menganjurkan Formula Satu,” katanya.
Sumber : BERITA HARIAN