Malaysia Rekod 4.5 Juta Pelancong Suku Pertama 2023

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LUMPUR – Malaysia merekodkan kedatangan pelancong asing seramai 4.5 juta setakat suku pertama tahun ini, kebanyakannya dari negara ASEAN, sekali gus menyaksikan perkembangan positif industri pelancongan negara.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Khairul Firdaus Akhbar Khan berkata jika momentum berkenaan berterusan, pihaknya yakin dapat mencapai sasaran 16.1 juta kedatangan pelancong tahun ini yang dianggar menjana lebih RM49 bilion pendapatan pelancongan.

Menerusi kerjasama erat dengan Tourism Malaysia, Khairul Firdaus berkata, lebih banyak program dan inisiatif akan dilaksanakan dalam memastikan Malaysia terus menjadi tumpuan pelancong seluruh dunia.

Beliau berkata selain negara-negara serantau, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan Tourism Malaysia juga mengenal pasti tumpuan pasaran melibatkan negara Timur Tengah, China, India dan juga Eropah.

Katanya, kekayaan alam semula jadi dan keindahan Sabah, Sarawak serta negeri-negeri lain turut menarik kedatangan pelancong dari China, Taiwan dan Korea.

Sebelum pandemik COVID-19, pelancong China merupakan pengunjung antarabangsa utama ke Sabah dengan 598,566 orang direkodkan pada 2019.

— BERNAMA