PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini mengadakan pertemuan dengan Menteri Luar Singapura, Dr Vivian Balakrishnan, di pejabatnya di sini.
Beliau berkata dalam kunjungan hormat itu, mereka bertukar-tukar pandangan mengenai pelbagai isu dua hala dan serantau yang menjadi kepentingan bersama.
“Saya turut menyatakan hasrat untuk memberi tumpuan kepada ekonomi dan bersama mencapai kemajuan dalam menyelesaikan isu-isu dua hala yang tertunggak secara komprehensif,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Balakrishnan berada di Malaysia sempena lawatan rasmi empat hari mulai Ahad hingga esok.
Semalam, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima menghadap Balakrishnan di Istana Negara.
Pada hari sama, Balakrishnan turut mengadakan pertemuan dengan Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan kedua-dua pemimpin memperakui hubungan erat yang telah lama terjalin antara Malaysia dan Singapura.
Sumber : BERITA HARIAN