Malaysia Tangga ke-13 Pemulihan COVID-19

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LUMPUR – Malaysia berada di kedudukan ke-13 daripada 122 negara atau wilayah dalam Indeks Pemulihan COVID-19 Nikkei, yang mengukur tahap pemulihan sesebuah negara daripada pandemik COVID-19.

Malaysia memperoleh 66.5 mata dalam indeks oleh Nikkei Asia, yang tertinggi bagi negara ASEAN selepas mengambil kira aspek pengurusan jangkitan, pelaksanaan pemberian vaksin dan mobiliti sosial.

Nikkei Asia melalui ciapan di Twitter, menyatakan kedudukan yang lebih tinggi bagi sesebuah negara atau wilayah dalam indeks berkenaan menunjukkan ia semakin hampir kepada pemulihan dengan jumlah kes COVID-19 yang rendah, kadar vaksinasi yang lebih baik dan langkah penjarakan sosial yang kurang ketat.

Bahrain berada di kedudukan teratas dalam indeks itu dengan 82 mata, diikuti Chile (76.5 mata), Taiwan (75.5 mata), Emiriah Arab Bersatu (UAE) (75 mata) dan China (74.5 mata).

Bagi negara ASEAN, Kemboja berada di kedudukan ke-22 dengan 63 mata, Singapura di tangga ke-23 (62 mata), Thailand ke-30 (60.5 mata) dan Indonesia ke-53 (54 mata).

Selain itu, Filipina di tangga 59 (53 mata), Myanmar di tangga 90 (44.5 mata), Vietnam di tangga 118 (35 mata) dan Laos di tangga 120 (33.5 mata).

Nikkei Asia memaklumkan, sumber data berhubung maklumat setiap negara atau wilayah diperoleh daripada Our World in Data, Google COVID-19 Community Mobility Reports, Oxford COVID-19 Government Response Tracker, Cirium dan penyelidikan Nikkei Asia.

Katanya, Indeks Pemulihan COVID-19 Nikkei terbaharu itu menunjukkan perbezaan antara negara Asia dan Barat dalam pemulihan pandemik.

Amerika Syarikat (AS) kini berdepan tempoh sukar berikutan penularan varian Omicron yang melonjakkan jumlah kes COVID-19 di negara itu.

AS berada di tangga 87 dalam indeks berkenaan, dengan 46.5 mata dan United Kingdom (UK) di tangga 59 (53 mata).

Sumber: BERITA HARIAN