Malaysia tidak gagal, sistem pentadbiran beroperasi dengan baik

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Jeli: Kerajaan menegaskan Malaysia bukan sebuah negara gagal sebagaimana laporan dikeluarkan Bloomberg, sebaliknya sistem pentadbiran negara beroperasi dan berfungsi dengan baik.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, jika Malaysia dikatakan gagal, semestinya semua institusi sama ada kerajaan dan swasta sudah lumpuh.

Katanya, laporan yang dikeluarkan itu tidak benar namun kerajaan bersikap terbuka dengan mengambil kira pandangan semua pihak dalam usaha menjadikan negara berada yang terbaik.

“Ada dakwaan daripada laporan Bloomberg mengatakan Malaysia sebuah negara gagal. Jika benar Malaysia gagal, semua sistem institusi lumpuh termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan lain-lain, namun apa yang berlaku adalah sebaliknya.

“Pentadbiran kita beroperasi seperti biasa sama ada Bank Negara, mahkamah, institusi swasta dan kerajaan. Malah, Ahli Parlimen masih bekerja seperti biasa dan turun padang walaupun Parlimen tidak bersidang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan bakul makanan menerusi Pakej Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) kepada penduduk Kampung Berdang, di sini, hari ini.

Turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Abdullah Ya’kub.

MUSTAPA bercakap pada media selepas Majlis Penyampaian Bakul Makanan di Masjid Mukim Berdang. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
MUSTAPA bercakap pada media selepas Majlis Penyampaian Bakul Makanan di Masjid Mukim Berdang. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Mustapa berkata, pelantikan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sebagai Menteri Penyelaras bagi Pelan Pemulihan Negara (PPN) juga sebagai bukti menunjukkan kesungguhan kerajaan meningkatkan ekonomi negara.

“Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga baru melantik Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang diyakini dapat membantu Perdana Menteri selain membela rakyat.

“Insya-Allah kita akan buat terbaik dan kita tidak akan menjadi negara yang gagal. Kita terbuka dan menerima pandangan serta kritikan semua pihak dalam mengambil pengalaman yang menguruskan Covid-19.

“Kita tidak sempurna, namun kita akan terus berusaha dan bincang supaya krisis ekonomi dan kesihatan dapat diselesaikan. Saya juga berharap semua pihak ketepikan fahaman atau perbezaan politik sebaliknya memberi fokus untuk membantu rakyat,” katanya.

Laporan Bloomberg sebelum ini memaklumkan, Malaysia duduk di tangga tercorot dalam senarai kemajuan 53 negara membuka semula ekonominya di tengah krisis pandemik Covid-19.

Senarai Kebingkasan Covid bagi Jun menempatkan Malaysia di tangga ke-51, hanya di atas Filipina dan Argentina.

Sumber: My Metro