Maloney Tak Buat Perubahan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LUMPUR – Pengendali skuad bawah 23 (B-23) tahun negara, Brad Maloney mengumumkan senarai akhir 23 pemain yang akan menggalas misi negara dalam kempen Piala Asia B-23 di Tashkent, Uzbekistan bermula 1 hingga 19 Jun ini.

Seperti dijangka, tiada perubahan dilakukan pengendali dari Australia itu, sebaliknya dia masih menaruh kepercayaan kepada barisan pemain yang menyarung jersi negara dalam temasya Sukan SEA 2021 di Hanoi, Vietnam sebelum ini.

Ia sekali gus menyaksikan beberapa pemain penting seperti Luqman Hakim Shamsudin, Mukhairi Ajmal Mahadi, Nik Akif Syahiran Nik Mat dan penjaga gol, Azri Ghani akan menjadi taruhan Maloney.

Bagaimanapun daripada senarai akhir 20 pemain ke Sukan SEA, Maloney membawa masuk tambahan tiga pemain iaitu penjaga gol, Muhammad Rahadiazli Rahalim, Muhamad Umar Hakeem Suhar Rezwan dan Muhammad Shafi Azswad Sapari.

Tambahan tiga pemain itu yang sebelum ini berada dalam senarai bersedia ke Sukan SEA melengkapkan senarai akhir 23 pemain ke Tashkent.

Malaysia akan memulakan kempen Piala Asia B-23 dalam Kumpulan C berdepan pasukan pilihan, Korea Selatan pada Khamis ini sebelum menentang Thailand (5 Jun) dan Vietnam (8 Jun).

Aksi peringkat kumpulan dijadual berlangsung di Stadium Lokomotiv dan Stadium Bunyodkor di Tashkent dengan dua pasukan tangga teratas akan layak ke suku akhir pada 11 dan 12 Jun.

Sumber: BERITA HARIAN