Mamat berjaya ditangkap

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA NERUS: Buaya jantan hampir empat meter yang menghuni lombong tinggal di Tepoh dekat sini, berjaya ditangkap semalam.

Reptilia yang dianggarkan seberat 250 kilogram yang terkenal dengan panggilan Adik Mat atau Mamat itu, berjaya dikesan selepas dua tahun Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) memburunya.

Pengarah PERHILITAN Terengganu, Dr Abdul Malek Mohd Yusof, berkata kakitangan jabatan itu memasang tiga perangkap Mei lalu, selepas dimaklumkan mengenai kehadiran buaya semula reptilia berkenaan.

Beliau berkata, kaedah memasang perangkap tidak berhasil, lalu operasi menggunakan kaedah menjerat bermula pada jam 4:30 petang semalam.

PERHILITAN Terengganu menjerat buaya di lombong tinggal di Tepoh, Kuala Nerus
FOTO:NSTP

“Reptilia ini berjaya ditangkap pada jam 5:45 petang dalam operasi yang dilakukan 17 kakitangan PERHILITAN Terengganu dengan bantuan 10 anggota polis yang melakukan kawalan.

“Buaya jantan berusia lapan tahun ini akan dibawa ke Paya Indah Wetland, Selangor,”katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Kisah Mamat pernah tular pada 2016 ketika reptilia itu hanya sepanjang satu meter ketika ditemui penduduk di kampung berkenaan sebelum sang bedal itu menghilangkan diri selama dua tahun.

Mamat muncul kembali di lombong tinggal itu pada 2019 tetapi menghilangkan diri. Pada Mei lalu, reptilia itu sekali lagi dilihat berada di kawasan berkenaan.

Buaya jantan yang berusia lapan tahun ini akan dibawa ke Paya Indah Wetland, Selangor
FOTO:NSTP

Sumber: Berita Harian