KUALA TERENGGANU – Pemain kelahiran Croatia, Ivan Mamut dan Damagoj Pusic sah menjadi ‘senjata’ terbaharu Terengganu FC (TFC) dalam menghadapi kancah Liga Malaysia (Liga M) musim ini.
Mamut, 26, yang sebelum ini beraksi bersama Football Club SB (FCSB) dalam Liga Romania beraksi di posisi penyerang dan akan menyarung jersi nombor 7 manakala Pusic, 32, dari kelab NK BSK Bijelo Brdo dalam Liga Croatia di posisi tengah bertahan dengan jersi nombor 8.
Kehadiran dua pemain senegara dengan ketua jurulatih baharu TFC musim ini, Tomislav Steinbruckner itu sekali gus menamatkan spekulasi sebelum ini selain melengkapkan senarai sembilan pemain import skuad Penyu itu.
Sebelum ini TFC mengikat pertahanan kelahiran Uzbekistan, Surdor Kulmatov selain Sony Norde (Haiti), Adisak Kraisorn (Thailand) disamping menyambung kontrak pemain musim lalu, Habib Haroon dari Bahrain.
Tiga lagi tenaga import iaitu Luke Woodland, Jordan Mintah dan Argzim Redzovic masih mempunyai baki kontrak selama setahun yang dijadual sehingga akhir November ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd, Ab Rasid Jusoh berkata, dua pemain import terbaharu itu masing-masing diikat kontrak selama setahun dalam misi memperkasakan lagi pasukan musim ini.
“Mamut dengan ketinggian 1.92 meter (m) dan Pusic 1.90 m, secara rasmi sah menjadi milik TFC musim ini. Dua pemain import itu menandatangani kontrak selama setahun sekali gus melengkapkan kuota pemain import kelab.
“Kehadiran Mamut bagi menggantikan penyerang musim lalu, Kpah Sherman yang tidak disambung kontrak. Dia bakal digandingkan dengan Adisak manakala Pusic bakal memperkuatkan jentera tengah yang sebelum ini diisi pemain kebangsaan Filipina, Manuel Ott.
“Kita berkeyakinan kehadiran pemain berkenaan bakal memantapkan lagi pasukan selain pasti memberi keyakinan kepada rakan sepasukannya dalam mengharungi kancah Liga M dan Piala AFC (Konfederasi Bolasepak Asia).
“Kita harap mereka dapat menyesuaikan diri dengan cepat bersama rakan sepasukan bawah kendalian Tommy (Steinbruckner) sebelum saingan liga membuka tirainya,” katanya ketika ditemui selepas mengumumkan dua pemain import baharu itu di pejabat TFC Sdn Bhd, di sini, hari ini.
Selain dua bintang baharu itu, TFC turut mendapat sentuhan jurulatih kecergasan, Hrvoje Bradasic dan jurulatih penjaga gol, Damogoj Malovan yang kedua-dua juga kelahiran Croatia.
– BERITA HARIAN