Man United ‘Enam Tahun di Belakang’ Liverpool

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

LIVERPOOL, England – Pengurus sementara Manchester United, Ralf Rangnick berkata bahawa kelabnya yang tewas 4-0 di Anfield, enam tahun ketinggalan di belakang Liverpool dan perlu dibangunkan kembali secara besar-besaran jika mahu merebut gelaran sekali lagi.

United tewas 5-0 kepada Liverpool di Old Trafford pada Oktober dan sekali lagi jelas berada dalam kelas berbeza pada perlawanan kedua ketika skuad kendalian Juergen Klopp kembali ke persada Liga Perdana.

“Ia memalukan, ia mengecewakan, malah mungkin dimalukan,” kata Rangnick.

“Kami perlu menerima mereka kini enam tahun di depan kami. Apabila Juergen Klopp datang mereka mengubah kelab dan mengangkat bukan hanya pasukan tetapi juga kelab dan bandar itu ke tahap baharu.

“Itulah yang perlu berlaku kepada kami dalam fasa perpindahan seterusnya,” katanya.

Pengendali dari Jerman itu berkata Liverpool semakin meningkat pada setiap fasa perpindahan selepas Klopp menyertai mereka pada 2015 dan ia sudah berbayar menerusi skuad yang kini mengandungi “25 jentera Formula Satu.”

Rangnick dijangka tidak akan kekal mengetuai United musim depan dengan jurulatih Ajax, Erik ten Hag dijangka akan mengambil alih tugasan selaku pengurus.

“Bagi saya, jelas akan ada, saya tidak tahu apa, enam, tujuh, lapan, mungkin 10 pemain baharu,” katanya. “Dan sebelum anda menandatangani pemain ini, anda perlu sedar, bagaimana anda mahu bermain?

“Apa jenis bola sepak yang pengurus baharu mahu bermain dan ia bermula dari situ sebelum membawa setiap pemain menyesuaikan diri dalam bentuk dimahukan.

“Pasti perlu dibentuk semula, itu pasti. Tapi ketika ini, ia tidak membantu kerana kami masih ada lima perlawanan untuk dilalui,” kat bekas jurulatih Leipzig itu.

Sumber: BERITA HARIAN