Man United Kelab Kedua Paling Bernilai Di Dunia

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

LONDON – Manchester United menjadi kelab kedua yang berada dalam senarai 30 kelab paling bernilai di dunia.

Penilaian itu dibuat Forbes dan kelab berkenaan dinilai dengan nilai 4.85 bilion pound (RM27.83 bilion).

Pemilik kelab, The Glazers mahu menjual Red Devils dengan ‘tanda harga’ mencecah 6 bilion pound (RM34.43 bilion) dan Jim Ratcliffe serta Sheikh Jassim masing-masing sedang dalam perebutan membeli Man United.

Real Madrid berada di puncak utama senarai, hanya dibezakan 50 juta pound (RM286.95 juta) di atas seteru utama mereka itu.

Barcelona, Liverpool dan Manchester City masing-masing melengkapkan senarai kelompok lima teratas.

Kelab utama Eropah, Bayern Munich dan Paris Saint-Germain termasuk pasukan di Liga Perdana Inggeris (EPL), Chelsea, Tottenham dan Arsenal masing-masing berada dalam kelompok 10 teratas.

Spurs berada di atas seteru Utara London atas faktor kecanggihan stadium mereka.

Enam lagi kelab Inggeris berjaya menembusi senarai 30 teratas dan ia secara tidak langsung menyaksikan 12 kelab berada dalam carta berkenaan.

Ia termasuk Leicester yang mungkin nilainya menurun selepas tersingkir daripada saingan EPL.

Juventus, AC Milan, Inter Milan dan Roma berada dalam kelompok kelab Itali yang berada dalam senarai 30 teratas.

Seandainya dibandingkan dengan penilaian tahun lalu, Newcastle memperlihatkan pertumbuhan 51 peratus sekali gus menjadi peningkatan terbesar dalam penilaian Forbes.

Sumber : BERITA HARIAN