Man United Setuju Tandatangani Casemiro

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

LONDON – Manchester United bersetuju untuk menandatangani pemain tengah Real Madrid, Casemiro dalam perjanjian yang dilaporkan berharga 60 juta pound (RM317.7 juta).

Pengendali United, Erik ten Hag terdesak dalam mendapatkan pemain tengah sejak mengambil alih tugas di Old Trafford, dan akhirnya terpaksa berpuas hati dengan Casemiro selepas gagal menandatangani Frenkie de Jong dari Barcelona.

United kini berada di tangga tercorot Liga Perdana Inggeris selepas kekalahan kepada Brighton dan Brentford pada dua aksi awal musim ini.

Casemiro ditawarkan kontrak empat tahun dengan pilihan lanjutan 12 bulan, bergantung kepada persetujuan syarat-syarat peribadi.

Pemain berusia 30 tahun itu menyertai Real dari Sao Paulo pada tahun 2013 dan menjadi tonggak di bahagian tengah kelab Sepanyol itu, memenangi lima gelaran Liga Juara-Juara Eropah.

“Manchester United dengan sukacita mengumumkan yang kelab sudah mencapai persetujuan dengan Real Madrid untuk perpindahan Casemiro.

“Perpindahan bergantung kepada persetujuan syarat-syarat peribadi, keperluan visa United Kingdom dan pemeriksaan kesihatan,” kata United.

Casemiro pernah bergandingan dengan bintang United ketika ini, Cristiano Ronaldo dan Raphael Varane ketika di Real.

Pengalaman dan kejayaan Casemiro di peringkat tertinggi akan menjadikannya pilihan utama berbanding Fred atau Scott McTominay di bahagian tengah.

Dia bagaimanapun tidak akan beraksi untuk perlawanan seterusnya menentang seteru tradisi Liverpool di Old Trafford Isnin ini.

Penampilan pertama Casemiro dijangka ketika berdepan Southampton pada 27 Ogos.

Sumber : BERITA HARIAN