Man United Tumpaskan Liverpool 2-1

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

MANCHESTER – Erik ten Hag meraih kemenangan pertama liga sebagai pengendali Manchester United selepas jaringan Jadon Sancho dan Marcus Rashford memberikan kemenangan 2-1 ke atas Liverpool di Old Trafford.

United memulakan aksi minggu ini di tangga tercorot Liga Perdana Inggeris, tetapi kini memintas Liverpool kendalian Jurgen Klopp yang belum memenangi sebarang perlawanan musim ini.

Sebelum perlawanan, penyokong-penyokong United berarak ke Old Trafford sebagai bantahan ke atas pemilik kelab, keluarga Glazer.

Gerakan di sosial media yang mahu penyokong memulaukan perlawanan berkenaan selepas kekalahan 4-0 di Brentford, tidak kesampaian.

Bagaimanapun kemenangan pertama liga ke atas Liverpool sejak tahun 2018 tidak meredakan kemarahan peminat yang masih melaungkan “kami mahu Glazers keluar” sepanjang permainan.

Ten Hag tidak menyenaraikan Cristiano Ronaldo dan kapten Harry Maguire dalam kesebelasan utama pada aksi di Old Trafford.

Selepas menjadi pengendali pertama United, dalam tempoh lebih sedekad, tewas pada dua perlawanan pertama, bekas pengendali Ajax itu mendapat corak permainan yang dimahukannya.

“Kita boleh bercakap tentang taktik tetapi semuanya berkenaan sikap,” kata Ten Hag.

Sancho meletakkan tuan rumah di depan pada minit ke-16 sebelum Rashford, yang menjaringkan gol pertamanya sejak Januari, menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-53.

Mohamed Salah merapatkan jurang untuk Liverpool ketika permainan berbaki 10 minit, tetapi sudah terlambat buat anak buah Klopp untuk sekurang-kurangnya memburu satu mata.

“Permulaan permainan adalah apa yang semua orang jangkakan, apa yang penyokong United mahukan. Mereka lebih agresif berbanding kami,” kata Klopp.

Sumber : BERITA HARIAN