Manchester United ‘Kubur Buat Pemain’

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

LONDON – Gary Neville melabelkan Manchester United sebagai “kubur buat pemain bola sepak” ketika dia hanya menamakan dua perpindahan berjaya dalam tempoh 10 tahun lalu.

Bekas pertahanan kanan itu membidas kelab itu bersama Jamie Carragher dalam Monday Night Football – 48 jam selepas kekalahan memalukan kepada Brentford.

Neville dan Carragher membincangkan persembahan buruk dan masalah berpanjangan dihadapi di Old Trafford.

Dan Neville menerangkan pemain besar dibeli sejak 2013 – termasuk penjaga gol pilihan ketiga dan pemain remaja yang tidak bersedia untuk aksi pasukan utama.

Daripada 33 pemain ditandatangani membabitkan £1.25 bilion (RM6.72 bilion) yuran perpindahan, hanya Zlatan Ibrahimovic dan Bruno Fernandes diberikan kedudukan positif.

Tujuh lagi diberikan tahap ‘pertengahan’ termasuk Cristiano Ronaldo dan Harry Maguire.

Namun baki 24 lagi semuanya menerima ‘merah’ yang menandakan ia perpindahan tidak berjaya diketuai Paul Pogba, Alexis Sanchez, Jadon Sancho dan Morgan Schneiderlin.

Neville menjelaskan budaya kegagalan menyelubungi kelab, yang langsung tidak hampir memenangi Liga Perdana sejak persaraan Sir Alex Ferguson pada 2013.

Katanya: “United ada turun naik antara pengurus dan strategi.

“Saya teruja dengan banyak pemain yang ditandatangani, termasuk tahun lalu menerusi Sancho, Raphael Varane dan Ronaldo.

“Kelab ini menjadi kubur buat pemain bola sepak. Sebanyak 75 peratus daripada pemain dibeli itu tidak menjadi.

“Empat atau lima peratus sahaja menjadi – itu cerita menyeramkan.

“Kita banyak menyalahkan pemain sejak 10 tahun yang lalu. Apabila sekolah tidak bagus, mereka akan diukur secara istimewa oleh kerajaan dan anda tidak menyalahkan budak-budak.”

Sumber : BERITA HARIAN