Manfaat Ganjaran Ramadan Biarpun Dalam Kesulitan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Tidak lama lagi,  seluruh umat Islam akan disambut bulan kemuliaan sebagaimana yang dinanti-nantikan oleh kita semua iaitu menyambut bulan Ramadan. Keistimewaan Ramadan secara jelas dinukilkan dalam banyak hadis dimana menunjukkan bulan ini bukan calang-calang sehingga makhluk lain juga terasa kehebatan dan kenikmatannya.

Dalam satu hadis dinyatakan, apabila tibanya bulan Ramadan, maka akan dibukakan pintu syurga, pintu neraka ditutupi dan syaitan pula dibelenggu (Hadis Riwayat Sahih Bukhari).

Kedatangan Ramadan bukan sahaja untuk rasa seronok dan meriah kerana ia juga dianggap sebagai bulan kemeriahan ibadah, tatkala setiap amalan ibadah yang dilakukan akan dijanjikan mendapat nilai pahala digandakan.

Maka, amat sinonim kedatangan bulan ini dinantikan penuh keterujaan. Keterujaan pula, biasanya sinonim dengan aktiviti solat tarawih dan beriktikaf di masjid dan berpuasa di bulan Ramadan.

Tidak terkecuali meriahnya bazar Ramadan, menjadi satu sumber rezeki yang memberi nafas bahagia buat semua peniaga-peniaga tersebut. Sejak setahun lalu, dunia keseluruhannya terkesan dengan pandemik yang sedikit sebanyak mencalit kebebasan dalam meraikan sesuatu kegembiraan. Begitu juga, seluruh masjid dan surau dihadkan aktiviti kerana masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Kali ini, kita semua sedikit gembira apabila prosedur operasi standard (SOP) melaksanakan solat di masjid dan surau sempena Ramadan diwujudkan. Ia memberikan kegembiraan buat semua.

Sambutan Ramadan dalam norma baharu bukan penghalang untuk kita semua berusaha mendekatkan diri kepada Yang Maha Esa. Ayuh jadikan Ramadan tahun ini lebih baik berbanding tahun lalu, seperti digambarkan Ibnu Rajab al-Hambali yang berkata, salafus soleh termasuk sahabat sangat gembira dan berdoa enam bulan sebelum kedatangan Ramadan agar dipertemukan bulan mulia itu.

Bagi menunjukkan rasa rindu, gembira dan bersyukur dengan kedatangan Ramadan, kita perlu meneliti semula segala rukun, syarat, lafaz niat, adab serta perkara yang membatalkan puasa supaya lebih bersedia dan dapat melakukan ibadah dengan lebih sempurna.

Persediaan ini penting bagi memastikan segala amalan dilakukan tidak cacat dan rosak kerana Ramadan juga bulan ibadah yang mana setiap amalan ganjarannya digandakan. Pastikan juga tahun ini, kita tidak meninggalkan amalan sunat seperti bangun bersahur, melaksanakan solat sunat Tarawih serta bersedekah wang ringgit walaupun sedikit.

Anjuran bersahur sunat bagi orang-orang yang berpuasa. Walaupun puasa seseorang itu sah sekiranya tidak bersahur, tetapi Rasulullah SAW sangat menitikberatkan amalan itu.

Hal ini diriwayatkan Abu Sa’id al-Khudri, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Makan sahur itu berkat, oleh sebab itu jangan kamu meninggalkannya walaupun salah seorang daripada kamu hanya meneguk seteguk air. Maka sesungguhnya Allah SWT dan malaikat-Nya berselawat ke atas orang-orang yang bersahur.” (Riwayat Imam Ahmad).

Walaupun dengan SOP khusus, ia bukan penghalang untuk kita terus berusaha melengkapkan tuntutan amalan ini, sekali gus jadikan ia sebagai penguat diri untuk memanjatkan doa bagi sesuatu yang baik.

Justeru, digalakkan kita berusaha mendidik diri dengan amalan sesuai dengan norma baharu, supaya tiada lagi wujud pembaziran kerana ia sangat bertentangan dengan Islam. Ayuh sama-sama berdoa semoga pandemik COVID-19 berakhir dan kita semua dapat mengembalikan keseronokan, kegembiraan serta kebebasan dalam meraikan bulan ibadah ini.

Sudah pasti apabila hati kita benar-benar ikhlas mendapat keredaan Allah SWT menerusi setiap tingkah laku serta amalan kita, kita akan berasa ada kemanisan walau berhadapan kesulitan.

Ayuh rebut peluang dan kejar ganjaran dijanjikan oleh Allah SWT dengan memanjatkan doa sebanyaknya supaya segala kesulitan kesan daripada pandemik ini akan berakhir kerana sesungguhnya tiada yang mustahil di sisi Allah.

Sumber: BERITA HARIAN