KUALA TERENGGANU – Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sukan, Belia dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah menggesa atlet-atlet Terengganu memanfaatkan peluang berlatih untuk meningkatkan prestasi mereka dengan kelonggaran yang diberikan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Alhamdulillah, negeri Terengganu kini berada dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan kita telah mendapat kelonggaran untuk memulakan latihan.
“Jadi, kita berharap para atlet dapat memaksimumkan prestasi mereka dalam semua sukan yang akan dipertandingkan terutama di Sukan Malaysia (SUKMA) nanti,” katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), selepas melawat pelajar-pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sekolah Menengah Sultan Ahmad, di sini.
Dalam lawatan tersebut, Wan Sukairi yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam turut menyampaikan bekalan pelitup muka dan cecair pembasmi kuman untuk kegunaan 207 pelajar itu sepanjang peperiksaan berlangsung.
Terdahulu, Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Ahmad Shahrizal Yahaya memaklumkan, para atlet telah mula melaporkan diri secara berperingkat di dua asrama MSNT Kuala Nerus sejak Ahad lalu.
Menurutnya, latihan turut dijalankan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan secara ‘kuarantin di kem’ serta pematuhan latihan kumpulan maksimum 10 orang bagi latihan ‘indoor’.
Sumber: TRDI News