Kota Bharu: Jumlah mangsa banjir di Kelantan menurun kepada 2,646 orang daripada 822 keluarga berbanding seramai 3,408 orang pada 9 pagi tadi.
Berikutan itu, 12 pusat pemindahan sementara (PPS) ditutup apabila paras air di rumah mangsa surut.
Kesemua mangsa banjir kini ditempatkan di 16 PPS yang masih dibuka di daerah Kuala Krai dan Pasir Mas.
Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), jumlah mangsa di Pasir Mas meningkat kepada 2,276 orang di 10 PPS dan Kuala Krai 370 orang pula ditempatkan di enam PPS.
Berdasarkan portal eBanjir Kelantan, lapan jalan masih ditutup kepada semua kenderaan iaitu empat di Pasir Mas, tiga Kuala Krai dan satu di Tanah Merah.
Jalan yang masih ditutup adalah Jalan Jirat, jalan masuk ke Kampung Baru Pahi, Jalan Bukit Sireh/Kampung Bedal/Kuala Nal di Kuala Krai.
Manakala, Jalan Balai Polis Jeram Perdah, Jalan Pengkalan Rakit-Batu Karang, Jalan Sekolah Cina dan Jalan Sekolah Kebangsaan Gual Tok Deh di Pasir Mas dan Jalan ke Loji Membersih Air Bukit Remah di Tanah Merah masih ditutup.
Sementara itu, hanya Sungai Golok di Rantau Panjang masih berada di paras bahaya iaitu 9.21 meter (m), manakala tiga sungai berada di paras berjaga dan empat sungai paras normal.
Tiga sungai di paras berjaga ialah Sungai Kelantan di Tangga Krai, Jambatan Guillemard dan Tambatan Diraja masing-masing dengan bacaan 20.06m, 13.04m serta 3.56m.
Sumber: My Metro