Mangsa Banjir di Kemaman, Hulu Terengganu Meningkat

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA TERENGGANU – Fenomena air pasang yang berlaku sejak kelmarin menyebabkan beberapa kawasan terutama yang terletak berhampiran sungai dan rendah, dilanda banjir.

Pertembungan air dari hulu sungai dan air laut pasang itu turut menyebabkan jumlah mangsa banjir di Terengganu  meningkat.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Leftenan Kolonel (PA) Mohd Rosman Abdullah berkata, setakat jam 10 pagi ini, seramai 17,354 mangsa daripada 4,566 keluarga terjejas ditempatkan di 86 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di tujuh daerah kecuali Marang.

Katanya, Kemaman merekodkan jumlah mangsa tertinggi iaitu seramai 9,244 mangsa daripada 2,379 keluarga di 27 PPS, diikuti seramai 3,814 mangsa membabitkan 964 keluarga di 18 PPS di Hulu Terengganu.

Fenomena air pasang besar dijangka berlarutan sehingga Sabtu ini dengan ketinggian ombak dijangka mencecah antara 2.2 meter (m) hingga 2.6 m di Kuala Terengganu dan 2.8 m hingga 3.2 m di Kemaman.

Sumber: BERITA HARIAN