Mangsa Banjir di Pasir Mas Meningkat, 1,775

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

RANTAU PANJANG – Jumlah mangsa banjir di Pasir Mas bertambah kepada 1,775 mangsa membabitkan 586 keluarga yang ditempatkan di lapan pusat pemindahan sementara (PPS).

Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pasir Mas, Azizan Aziz, berkata lapan PPS itu adalah di Sekolah Kebangsaan (SK) Gual To’Deh yang membabitkan 670 mangsa, SK Kubang Kual (164 mangsa), Putat Tujuh (145 mangsa), SK Sri Kiambang (224 mangsa) dan Masjid Mukim Padang Licin, menempatkan 74 mangsa.

Katanya, tiga PPS baru dibuka petang semalam iaitu di SK Gual Periok yang membabitkan 388 mangsa, SK Gual Sitok, 85 mangsa dan SK Kedai Tanjong dengan 25 mangsa.

“Jumlah mangsa terus bertambah sejak pagi semalam, namun proses pemindahan dan persiapan tempat berjalan dengan lancar.

“Kesemua mangsa yang terbabit adalah daripada penempatan rendah yang mengambil keputusan berpindah selepas risau akan keselamatan diri memandangkan banjir pada paras yang tinggi.

“Alhamdulillah, hasil kesiapsiagaan pihak kami sebelum tibanya monsun timur laut, membolehkan setiap urusan dijalankan dnegan baik,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Azizan berkata, pihaknya dalam usaha memberikan yang terbaik untuk menyediakan tempat serta makanan dan pada masa sama, meminta kerjasama dengan semua mangsa yang berpindah agar semuanya berjalan lancar.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Shapawi Stapa, berkata paras Sungai Golok menunjukkan penurunan berbanding semalam, tetapi masih melebihi tahap bahaya.

“Selain itu, beberapa penempatan rendah masih menerima aliran air menyebabkan paras banjir masih tinggi di sesetengah kawasan.

“Pihak kami sendiri giat menjalankan operasi pemindahan mangsa semalam, selain membuat pemantauan bagi penduduk yang mahu berpindah sendiri ke PPS terdekat,” katanya.

Sumber : BERITA HARIAN