Mangsa Banjir di Rompin Kekal 27 Orang

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN – Seramai 27 mangsa daripada lapan keluarga di Rompin kekal berada di pusat pemindahan sementara (PPS), setakat jam 8 pagi ini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pahang memaklumkan semua mangsa kini ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Denai.

Data berdasarkan laman sesawang Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pula merekodkan Sungai Rompin di Jambatan Kuantan/Segamat, melepasi paras bahaya dengan bacaan 10.68 meter (m) berbanding 9.50m yang ditetapkan.

Sungai Keratong di Jambatan Bahau Keratong, Rompin pula melepasi paras amaran manakala Sungai Serting di Jambatan Padang Gudang, Bera dan Sungai Belat, Kuantan merekodkan bacaan melepasi paras waspada.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataan semalam, mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada diramal berlaku di Pahang iaitu di Kuantan, Pekan dan Rompin sehingga esok.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Mohd Azahari Mukhtar, berkata walaupun hanya sebuah PPS masih dibuka pihaknya sentiasa bersiap siaga pada bila-bila masa bagi menghadapi sebarang kemungkinan banjir.

“Ini kerana Monsun Timur Laut belum berakhir,” katanya.

Sumber : BERITA HARIAN