Mangsa banjir hilang MyKad tak perlu lapor polis

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kuala Terengganu: Mangsa banjir yang kehilangan Mykad dan sijil kelahiran dan ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) dikecualikan mengemukakan laporan polis untuk permohonan gantian.

Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (PJN) negeri, Mohamad Nasir Kareem berkata, mangsa banjir yang kehilangan dokumen itu juga dikecualikan daripada dikenakan denda ketika mengemukakan permohonan untuk gantian.

Katanya, JPN negeri akan menghantar dua pasukan untuk memudahkan mangsa banjir membuat permohonan gantian Mykad dan sijil lahir yang hilang dan rosak.

“JPN akan bekerjasama dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) untuk menguruskan semua permohonan gantian dokumen yang hilang dan rosak disebabkan bencana banjir,” katanya kepada media selepas Temu Mesra Bersama Agensi dan Media di Primula Beach Resort, di sini.

Mengulas mengenai tempoh proses permohonan, Mohamad Nasir berkata, semua permohonan gantian dokumen yang dikemukakan akan siap sebelum mangsa dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing.

Katanya, proses permohonan MyKad baharu yang dibuat melalui unit berkenaan akan siap dalam tempoh 24 jam.

“Penyerahan permohonan gantian dokumen yang hilang dan rosak akan diserahkan kepada mangsa banjir sebelum mereka dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing.

“JPN tidak akan mengambil masa yang agak lama untuk menyiapkan dokumen kerana semua maklumat permohonan sudah ada dalam sistem,” katanya.

MyKad. FOTO HIASAN
MyKad. FOTO HIASAN

Sumber: My Metro