KUALA LUMPUR: Hujan berterusan di beberapa negeri menyaksikan jumlah mangsa banjir kembali bertambah, dengan tujuh negeri terpaksa membuka pusat pemindahan sementara (PPS) berbanding lima negeri semalam.
Setakat pagi tadi, portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menunjukkan jumlah mangsa banjir meningkat lebih 10 peratus kepada 4,379, berbanding 3,947 semalam.
Pahang antara yang mencatat peningkatan, apabila merekodkan 2,030 mangsa daripada 629 keluarga di 32 PPS setakat jam 7.45 pagi tadi, berbanding 1,995 mangsa daripada 620 keluarga di 25 PPS semalam.
Jumlah mangsa banjir di Negeri Sembilan turut meningkat kepada 261 mangsa daripada 57 keluarga di lima PPS pada jam 7.35 pagi tadi, berbanding 29 mangsa daripada sembilan keluarga di satu PPS.
Selain itu, dua negeri juga mula membuka PPS hari ini, dengan Johor membuka enam PPS bagi menempatkan 169 mangsa daripada 18 keluarga setakat jam 7.21 pagi tadi.
Melaka turut membuka tiga PPS, namun belum ada mangsa ditempatkan setakat jam 8.12 pagi, sebaliknya ia langkah persediaan berikutan beberapa kawasan di negeri itu dilaporkan mula dilanda banjir.
Dalam pada itu, Kelantan merekodkan berita positif apabila merekodkan sedikit penurunan kepada 1,125 mangsa daripada 361 keluarga di 18 PPS setakat jam 8.15 pagi, berbanding 1,129 mangsa daripada 363 keluarga di 18 PPS semalam.
Jumlah mangsa banjir di dua lagi negeri tidak mencatat perubahan, dengan Terengganu kekal merekodkan 451 mangsa daripada 128 keluarga di empat PPS, manakala Sabah merekodkan 343 mangsa daripada 117 keluarga di dua PPS.