KUALA TERENGGANU – Jumlah mangsa banjir di Terengganu kekal seramai 137 orang, setakat jam 8 pagi ini. Kesemua mangsa daripada 42 keluarga itu telah ditempatkan di dua PPS di Dungun.
Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, dua PPS yang masih aktif adalah Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Raja dan Dewan Orang Ramai Kampung Shukor.
Seramai 69 keluarga daripada 22 keluarga masih berada di PPS Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Raja dan seramai 20 keluarga membabitkan 68 mangsa lagi pula berada di PPS Dewan Orang Ramai Kampung Shukor.
Ketika ini, keadaan cuaca semasa di beberapa kawasan di Terengganu kelihatan mendung dan berangin selain hujan renyai. Sementara itu, paras air di sungai-sungai utama di Terengganu juga menunjukkan trend penurunan sejak semalam.
Berdasarkan laman web rasmi Public InfoBanjir Jabatan Pengairan dan Saliran, sungai yang merekodkan bacaan melepasi paras amaran adalah di Sungai Kemaman di Rumah Pam Paya Paman. Ketika ini, sungai tersebut berada pada paras 3.69 meter (m) berbanding paras normal 1.4 m.
Selain itu, empat lagi sungai pula direkodkan melepasi paras waspada. Dua sungai tersebut adalah di Dungun, dan masing-masing satu di Besut dan Setiu.
Di Dungun, Sungai Dungun di Kampung Pasir Raja dan Sungai Dungun di Jambatan Jerangau kini berada pada paras 36.3 m dan 10.48 m.
Sungai Besut di Jambatan Keruak, Besut pula mencatatkan bacaan 33.45 m. Manakala, Sungai Nerus di Kampung Bukit, Setiu pula berada pada paras 11.46 m.
Sumber: HARIAN METRO