Mangsa Bot Karam Terapung 14 Jam di Laut

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA TERENGGANU – Mangsa tragedi bot karam yang terselamat terpaksa berpaut pada penutup fiber tong ikan dan pelampung bubu sepanjang dia terapung selama 14 jam di perairan Pulau Redang dekat sini, Isnin lalu.

Muhamad Kamaruddin Yudi, 31, berkata, dia hanya menyerahkan nasib dirinya kepada takdir kerana hampir berputus asa apabila bot yang dinaiki bersama lima sahabat lain karam pada 10 malam.

“Dalam keadaan yang kelam kabut itu, saya hanya mampu mencapai penutup fiber tong ikan dan pelampung bubu untuk memastikan diri saya terapung.

“Saya cuba untuk berenang dengan sisa kudrat yang ada dalam keadaan gelap gelita dan ombak tinggi untuk mendapatkan pertolongan.

“Alhamdulillah, setelah 14 jam bertarung nyawa, saya ternampak sebuah kapal layar milik pelancong luar negara pada pukul 11 pagi keesokannya. Pelancong itu kemudian menghantar saya ke sebuah bot Jabatan Perikanan yang ada di pantai berhampiran,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Dalam kejadian itu, Muhamad Kamaruddin bersama lima rakannya dari Pasir Puteh, Kelantan pergi memancing dan memasang bubu di perairan Pulau Redang.

Bagaimanapun, dalam perjalanan pulang, bot yang mereka naiki terbalik dan karam dipukul ombak akibat kejadian ribut menyebabkan lima rakannya itu hilang.

Semalam, operasi mencari dan menyelamat (SAR) berjaya menemui tiga mayat iaitu Saludin Ismail, 50; Mohd Nazri Abu Bakar, 48 dan Zulkifli Umar, 48.

Ketika ini, operasi masih berjalan untuk mencari lagi dua mangsa iaitu Ahmad Zamri Ishak, 66, dan Raja Zainudin Raja Ibrahim, 49.

Sumber : UTUSAN MALAYSIA