KOTA BHARU: Seorang lelaki yang parah dipercayai diserang beruang di Kampung Dalam Senduk, Jerek, dekat Gua Musang, menjalani pembedahan di kepala dan kaki petang semalam.
Mangsa, Muhamad Zaki Che Mohamed, 33, masih belum sedarkan diri, namun dalam keadaan stabil dan dirawat di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.
Adik mangsa, Shahrizal, 31, berkata abangnya yang juga anak keempat daripada sembilan beradik itu menjalani pembedahan di kepala dan kaki semalam, yang mengambil masa 10 jam.
“Doktor memaklumkan abang dalam keadaan stabil walaupun keadaannya parah. Abang kini dipantau oleh pasukan perubatan.
“Kami sekeluarga menunggunya di hospital dan berharap abang cepat sembuh,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Shahrizal yang juga anak kelima berkata, ketika kejadian dia berada di tempat kerja di ladang Kuala Betis dan bergegas pulang sebaik dimaklumkan keadaan abangnya yang parah oleh adik perempuan, Siti Jamilah, 22.
Menurutnya, abang dibawa rakannya ke Klinik Kesihatan Jerek kira-kira 5 petang sebelum adiknya, Siti Jamilah bersama kawannya menghantar abangnya ke Hospital Gua Musang dengan menggunakan kereta pada 5.30 petang.
“Hospital Gua Musang kemudian membawa abang ke HUSM kerana keadaannya yang parah dan memerlukan rawatan pakar,” katanya.
Terdahulu media melaporkan, seorang lelaki parah dipercayai diserang beruang ketika keluar memikat burung di kawasan kebun di Kampung Dalam Senduk, Jerek, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian itu, Muhamad Zaki cedera dengan kesan koyakan di kepala dan kaki serta mata akibat cakaran haiwan liar itu.
– BERITA HARIAN