Manis Travel: Sejarah Asal Usul Kota Pontianak Kalimantan Indonesia

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Bandar Pontianak merupakan sebuah kota yang terdapat di Kalimantan Barat, Indonesia. Kota ini juga dikenali sebagai Kota Khatulistiwa kerana terletak di atas garisan Khatulistiwa iaitu di atas kedudukan 0º0′ N, 109º20′ E dengan suhu mencecah 22.9 °C sehingga 31.05 °C dan mendapat 3,000 mm – 4,000 mm hujan setiap tahun.

Menurut En. Ridzuan iaitu seorang pengembara solo kelahiran negeri Perak, asal pembukaan kota tersebut oleh Syarif Abdur Rahman bin al-Habib Husein al-Qadri(Sultan Pontianak) yang sering diganggu pontianak ketika pembukaan kota terbabit.

“Anda boleh lihat di sepanjang sungai Kapuas, sungai terpanjang di Indonesia, terdapat banyak meriam besar yang dikatakan bertujuan menghalau pontianak. Pada permulaan meriam ditembak, peluru yang jatuh di suatu tempat dinamakan Keraton Kadariyah iaitu tempat istana-istana Sultan dan dibangunkan juga masjid pertama di Kota Pontianak yang mana boleh dikunjungi sekiranya melancong ”, ulasnya bagaimana pembukaan kota tersebut masih diteruskan.

Kepadatan penduduk di Kota Kalimantan dikatakan lebih 600 ribu penduduk setakat ini. Dengan keadaan bandar dan pembangunan yang agak usang, ujar En. Ridzuan yang sedang menghabiskan pengembaraan sekitar Asia turut menyatakan suasana bangunan-bangunan lama boleh disamakan dengan negeri Kelantan.

Sudahpun sampai ke kota Pontianak sebanyak tiga kali, berdasarkan pemerhatiannya, majoriti penduduk di kota terbabit adalah kaum Melayu Pontianak (25%), selebihnya Cina, Dayak, dan Bugis yang mana agama rasmi mereka adalah Islam (75%).

“Kalau kita sembang dengan orang takkenal, mudah nak faham bahasa mereka. Bahasa Malaysia tapi ada loghat macam orang Sarawak sikit”, jawab En. Ridzuan ketika ditanya cara berkomunikasi di sana.

Bercakap mengenai makanan yang wajib dicuba sekiranya mengunjungi kota terbabit, “Bubur Pedas” cukup terkenal di sana. Tekstur hampir sama dengan bubur lambuk, keistimewaannya pula merupakan sambal pedas yang dibuat. Makanan halal juga senang didapati dan kuih bingka pelbagai perisa merupakan antara makanan dikategorikan sebagai mesti cuba sekiranya melancong ke sana.

Mengulas lanjut mengenai Kota Seribu Kopi, Kota Pontianak terkenal dengan pelbagai jenis kopi dan kuliner. Banyak kedai kopi yang boleh dilihat beroperasi seawal jam 4 pagi dan tidak pernah lekang pelanggannya.

Perjalanan darat ke Kota Pontianak mengambil masa lapan hingga sepuluh jam melalui jalan-jalan kampung. En. Ridzuan ketika ditemuramah berkongsikan pengembaraannya ke sana selama 7 hari 6 malam cuma membabitkan perbelanjaan lebih kurang RM1800 sahaja, jadi lebih jimat sekiranya berkunjung tak sampai seminggu.

“Kerana taraf hidup rendah di sini, sarapan, makan tengahari, minum petang dan makan malam cuma melibatkan belanja RM20 sehari sekeluarga. Nasi ayam geprek cuma harga RM3, sangat murah.”, ulasnya.

Tempat-tempat bersejarah di Kota Pontianak tidak kurang hebatnya. Tugu Khatulistiwa merupakan tempat pelancongan yang wajib dikunjungi kerana kota terbabit berada tepat di atas garisan Khatulistiwa yang memisahkan bumi utara dan selatan. Katanya lagi, “Kalau pergi ke sana pada bulan Mac dan September, anda boleh menyaksikan femonena tiada bayang-bayang atas tugu terbabit. Malam pula boleh ke Sungai Kapuas, ada air terjun, pelayaran sungai, sangat meriah”.

En. Ridzuan turut menggalakkan orang ramai bercuti ke Kota Pontianak untuk mengenal budaya, orang yang baik-baik dan tempat pelancongan yang menarik.