Manis Travel: Singapura Bandar Raya Moden Bertaraf Dunia!

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Singapura merupakan negara paling mudah untuk menjalankan perniagaan diterbitkan oleh bank dunia dan juga dinobat sebagai negara paling bersih di Asia dan ketiga di dalam dunia. Menarik tentang Singapura, ia juga merupakan bandar raya moden di dunia. Perkhidmatan tentera pula adalah wajib bagi semua lelaki di Singapura selama dua tahun selepas menamatkan sekolah menengah.

Syazwan Hakim atau mesra disapa Nendo, seorang pencipta kandungan di Singapura turut berkongsi bahawa penggunaan bahasa Melayu kini kurang digunakan dalam kalangan muda termasuk kanak-kanak. Video-video eksperimentasi sosial yang dilakukan di sana juga menunjukkan rakyatnya apabila ditanya dalam bahasa Melayu, mereka lebih cenderung bertutur dalam bahasa Inggeris. Namunpun begitu, golongan warga emas sahaja terhad dalam berkomunikasi menggunakan bahasa Inggeris, selebihnya masih menggunakan bahasa Melayu.

Ditanya mengenai perkembangan budaya di Singapura, dikir barat Singapura atau dikir barat Sembawang mendapat perhatian dalam kalangan anak-anak muda. Ia giat diketengahkan dalam institusi pendidikan seperti kolej. Sukan popular di sana pula adalah ‘Table Tennis’ selain bola sepak. “Kebanyakannya memang orang Melayu yang mengikuti dikir barat sebagai bidang kokurikulum, dan ramai juga golongan muda suka menikmati hiburan dikir barat, walaupun tidak mempelajarinya terperinci’, ujarnya meyakinkan bahawa tradisi dikir barat di sana masih lagi wujud.

Oleh kerana Singapura adalah merupakan bandar raya yang moden, kampung-kampung kebanyakannya telah pupus dan semuanya dijadikan pembangunan. Ujar Nendo, “Tapi ada satu kampung kawan saya yang mana kampung tersebut tidak ditutup, boleh rasa suasana kampung, lihat rumah-rumah kayu di Seberang Yunus”.

Biarpun begitu Nendo mencadangkan Pulau Ubin adalah satu-satunya kawasan yang anda perlu keluar sedikit dari kota raya, mengambil masa tidak sampai sejam untuk merasai suasana kampung yang sebenarnya sekiranya anda bercuti ke Singapura. Aktiviti bagi kebanyakan pelancong yang datang berkunjung ke Singapura adalah melawati muzium dan tempat bersejarah di Sentosa. Selain itu, pusat membeli-belah juga banyak di sana, al maklumlah bandar raya moden.

Makanan adalah tarikan utama pelancongan yang menjadikan sesuatu negara itu unik. Jelas Nendo, sebagai sarapan, rakyat Singapura sama sahaja seperti rakyat Malaysia yang bersarapankan roti canai dan juga nasi lemak. Walaupun mereka tidak mempunyai makanan khas / tradisional, Murtabak Burger merupakan makanan yang semua mesti cuba. Keistimewaannya, ia dimakan bersama dengan kuah kari dan juga dalca. Selain itu, sup tulang berwarna merah juga kerap menjadi makanan pilihan pelancong.

“Sup itu berwarna merah kuahnya dan hanya sup tulang yang berwarna merah seperti itu. Rasanya sedap, ada rasa pedas dan dicecah bersama roti”, katanya yang juga turut menggemari makanan tersebut.

Ramai rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura asbab pendapatan yang lebih lumayan. Kata Nendo, majoriti rakyat Malaysia yang bekerja di sana adalah sebagai posmen, pengawal keselamatan (ICA) dan teknologi maklumat (IT).

Berkunjung ke Singapura akan menjadi percutian yang berbaloi jika anda tahu menguruskan perbelanjaan anda sehari-hari. Nendo menganggarkan 500 dolar Singapura sudah cukup untuk perbelanjaan makan 4 hari 3 malam seorang, tidak melibatkan kos penginapan dan penerbangan. Nasihatnya juga, pelancong perlu pandai memilih kedai / tempat makan.

Para pelancong dinasihatkan untuk tidak melanggar peraturan untuk mengelakkan disaman atau dikompaun. Antara pantang-larangnya ialah tidak boleh meludah dan membuang sampah sembarangan. Rokok elektronik dan gula-gula getah (punca kes kerosakan kemudahan awam) juga telah diharamkan di sana. Jadi, berhati-hatilah ketika bercuti, pastikan anda menjaga adab dan kelakuan sepanjang berada di negara orang.