Manis Xpres: Mengenal Fenomena Alam Ribut Suria

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Ribut suria merupakan fenomena alam yang biasa terjadi kepada cuaca di angkasa. Seperti di bumi yang mengalami perubahan iklim dan juga cuaca, sama seperti yang berlaku di luar atmosfera bumi. Matahari merupakan sumber cahaya, bahkan atmosfera matahari mengandungi gas bercas elektrik yang menjana kawasan dengan medan magnet yang kuat dan sangat kompleks. Gas matahari yang sentiasa bergelora, malahan meletus disebabkan oleh kapasiti medan magnet yang tinggi dan tidak stabil lalu menjana banyak aktiviti di permukaan Matahari lalu mempengaruhi cuaca angkasa dan menghasilkan ribut suria.

Merujuk kepada pakar, Pengarah Institut Penyelidikan Alam Sekitar Pantai Timur (ESERI), Universiti Zainal Abidin (UniSZA), Prof Madya Ts. Dr. Roslan Umar menjelaskan terdapat empat aktiviti pada matahari iaitu tompok matahari (seperti tahi lalat, lebih banyak tompok menunjukkan matahari sedang aktif), lohong korona, nyalaan suria (gelombang elektromagnet bahaya) dan hamburan jisim korona (bahaya) yang menjadi punca kepada kejadian ribut suria.

“Walaupun hamburan jisim korona mengambil dalam masa satu ke empat hari dan gelombang sinar X mengambil masa 83 minit untuk mengenai bumi, bumi kita dicipta Tuhan mempunyai ‘protection’ atau perlindungan medan magnet di sekitar bumi yang dipanggil magnetosfera. Arus aktiviti matahari akan masuk sedikit sahaja dari atas atau utara membentuk fenomena ‘aurora’ (cahaya berbagai warna) yang mana terhasil oleh ribut magnet.”, jelasnya lagi apabila ditanya akan kegusaran yang menghantui masyarakat, persoalan adakah sumber internet akan lumpuh dan penduduk bumi akan bergelap selama 17 hari, beliau mengatakan sekerasnya bahawa ia merupakan andaian yang tidak berasas.

Mengikut sejarah keterjejasan diakibatkan oleh ribut suria, beliau mengatakan pernah satu kali di Sweden, tahun 2003 yang mana sistem telekomunikasi terjejas kurang dua jam akibat arus yang terkena pada ‘transformer’ dan juga satelit di ruang angkasa. Transformer yang rosak selama 9 jam, lalu ditukar baru.

Menurutnya lagi, fenomena ribut suria adalah fenomena biasa yang berlaku mengikut kitaran matahari iaitu 11 tahun, cuma tahun ini terawal dari jangkaan asal iaitu tahun 2025.

Oleh kerana itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak panik dengan fenomena ini kerana ia biasa berlaku. Beliau yang merupakan anak kelahiran Dungun, Terengganu berpesan untuk sama-sama kita menghayati keindahan alam. Fenomena ‘aurora’ yang cantik itu merupakan satu peringatan yang Tuhan melindungi kita dengan medan magnet / magnetosfera dari kejadian ribut suria ini.

Sebagai peringatan bersama, semak dan selidik / tabayyun seperti yang disarankan dalam Islam supaya tidak menimbulkan masalah lain. Jagalah alam, elakkan menggunakan klorofluorokarbon (CFC), dan tidak melakukan pembakaran terbuka yang akan menyebabkan penipisan lapisan ozon. Tak pasti, jangan kongsi.