‘FRONTLINER’ menjadi pasukan penting dalam mengekang wabak penularan pandemik COVID-19 yang kini telah merebak di negara ini.
Jasa anggota badan beruniform yang menjadi petugas barisan hadapan tidak dilupakan apabila mereka menerima sumbangan daripada Manisfm melalui Majlis Penyampaian Sumbangan Kepada Frontliner di Kelantan khususnya di Kota Bharu.
Walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kini memasuki fasa kelima dan pihak kerajaan memberi kelonggaran bersyarat namun mereka sebagai agensi barisan hadapan tetap perlu melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan.
Sumbangan dalam bentuk makanan itu diserahkan kepada Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), RADICARE Kota Bharu, Hospital Universiti Malaysia Kelantan (HUSM), ‘Rider’ penghantaran makanan (FOODPANDA), Balai Polis daerah Kota Bharu, APM daerah Kota Bharu, RELA daerah Kota Bharu dan disambut baik oleh penerima iaitu pihak atasan setiap agensi untuk diagihkan kepada kakitangan yang terlibat.
Sumbangan itu juga bertujuan menyuntik semangat untuk terus memberi perkhidmatan yang terbaik dan menzahirkan penghargaan terhadap komitmen mereka dalam mengekang penyebaran wabak covid-19 yang semakin membimbangkan ini.
Majlis Penyerahan Sumbangan itu disampaikan oleh Penyampai (DJ) Manisfm dan Troopers Manisfm dengan kerjasama Hotel H Elite Tunjong dan Hotel Grand Renai Kota Bharu.