Manusia Pertama Meluncur Di Udara

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kebanyakan masyarakat hari ini mengenali adik-beradik Wright iaitu Orville Wright dan Wilbur Wright sebagai pencipta kapal terbang.

Ternyata tanggapan tersebut salah kerana ilmuan Islam terulung adalah Abu al-Qasim ‘Abbas Ibn Firnas Ibn Wardus atau lebih dikenali sebagai ‘Abbas Ibn Firnas. Beliau merupakan perintis awal dalam bidang penerbangan.

Tokoh tersebut merupakan orang pertama mempelopori bidang berkenaan. Ia turut diakui oleh cendekiawan Barat iaitu Philip K Hitti yang mempelajari dunia Arab.

Dalam bukunya bertajuk History of Arabs: From the Earliest Times to the Presents, Philip menyatakan: “Ibn Firnas merupakan individu pertama dalam sejarah melakukan percubaan saintifik untuk terbang.”

Figura itu dilahirkan pada 810 Masihi di sebuah kawasan yang kini dikenali sebagai Ronda, Sepanyol. Beliau sanggup berhijrah meninggalkan kampung halamannya kerana keghairahan beliau untuk menimba ilmu pengetahuan. Beliau berpindah ke Cordoba, Sepanyol selain pergi ke Baghdad, Iraq sebelum kembali ke rumahnya.

Bandar Baghdad sememangnya terkenal dengan pusat ilmu pengetahuan iaitu Dar al-Hikmah. Pusat tersebut telah melahirkan ramai ilmuan Islam. Antaranya adalah sarjana, saintis, penulis, penyair dan artis.

Di Iraq, ‘Abbas Ibn Firnas mempelajari pelbagai ilmu dan telah menguasai banyak kajian seperti astrologi, astronomi, kejuruteraan dan muzik.

Malah, beliau dikenali sebagai penyair yang hebat. Namun, nama beliau lebih masyhur dengan penciptaan alat peluncur terbangnya.

Cipta Alat Peluncur Terbang

Ini kerana alat peluncur terbang pertama ciptaan beliau yang direka merupakan objek buatan manusia pertama yang telah menerbangkan manusia di udara.

Ini bermakna beliau bukan sahaja orang pertama yang mencipta alat terbang, tetapi juga menjadi juruterbang yang pertama.

Beliau mula meminati bidang aeronautik selepas mendapat inspirasi daripada seorang lelaki bernama Armen Firman. Lelaki itu pernah membuat satu alat diperbuat daripada sutera dan diperkuat dengan batang kayu, sebelum meluncur dari tempat tinggi. Malangnya percubaannya untuk terbang gagal.

Bertitik tolak dari situ, pada 875 Masihi, ‘Abbas Ibn Firnas kemudian mencipta alat luncur terbangnya sendiri. Ia diperbuat daripada sutera dan bulu helang.

Untuk menerbangkannya, individu yang mengendalikannya perlu berada di tempat yang lebih tinggi untuk berlepas, meluncur sambil mengepak sayap dengan tangannya.

Beliau memang berusaha gigih untuk terbang. Tanpa rasa bosan dan tidak berputus asa, beliau menambah baik dan mereka bentuk semula struktur alat terbangnya dari semasa ke semasa.

Kemalangan

Pada usia 65 tahun, ‘Abbas Ibn Firnas menguji alat terbang rekaannya di hadapan sejumlah penonton di Jabal al-‘Arus, Rusafa berhampiran Cordoba, Sepanyol.
Beliau berjaya meluncur di udara lebih daripada 10 minit sebelum berlaku pendaratan terburuk buat dirinya.

Akibatnya, beliau mengalami kecederaan yang parah dan salah satu tulang belakangnya patah. Insiden itu menghalang beliau untuk membuat percubaan lagi.

Bagaimanapun, kemalangan itu membuatkan beliau sedar bahawa struktur akhir ekor merupakan bahagian penting untuk pendaratan. Ia sama seperti cara burung menggunakan ekornya untuk mengurangkan kelajuan. Struktur itu dinamakan sebagai ornithopter oleh da Vinci.

Namun, kekangan kesihatan membuatkan beliau tidak mampu menciptakan pesawat lain dengan reka bentuk yang sempurna.

Pada tahun 887 Masihi iaitu 12 tahun selepas peristiwa hitam itu, beliau telah meninggal dunia pada usia 77 tahun. Menurut satu pandangan lain, Abbas Ibn Firnas meninggal pada usianya 80 tahun.

Apapun, idea tokoh ilmuan itu begitu dinamik sehiggakan ciptaan alat terbangnya membuka pintu untuk kajian penerbangan yang memberi impak besar kepada dunia.

Malah, konsep struktur ornithopter ciptaan ‘Abbas Ibn Firnas diakui menjadi komponen pesawat penting dalam mengekalkan kestabilan semasa mendarat. Malangnya, luncuran beliau tidak mempunyai ekor di belakangnya penerbangan berakhir dengan tragis.

Sumber: SINAR HARIAN