MAQIS rampas 24 tan makanan haiwan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Pelabuhan Klang: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) merampas dua kontena yang membawa masuk 24,945 kilogram (kg) makanan haiwan (petfood) menerusi satu pemeriksaan di Tapak Pemeriksaan Gudang CFS, Pelabuhan Barat, dekat sini kelmarin.

Pengarah MAQIS Selangor, Zamri Hashim berkata, makanan haiwan itu dianggarkan bernilai lebih RM177,000 dan dipercayai dari negara Turki dan Perancis.

“Rampasan itu dilakukan apabila anggota menjalankan pemeriksaan rutin pada 4 petang terhadap dua kontena berkenaan dan mendapati terdapat makanan haiwan untuk kucing dan anjing.

“Kesemua dagangan seberat 24,945 kg dianggarkan bernilai lebih RM177,000 itu ditahan untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan lanjut mendapati, barang dagangan berkenaan ditahan kerana tidak mematuhi syarat import MAQIS sebagaimana yang dinyatakan permit, lesen dan perakuan iaitu tiada sijil notifikasi makanan haiwan

Katanya, ia menjadi kesalahan mengikut Seksyen 15(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011.

“Mereka boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 15(2), akta sama dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100, 000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Sumber: My Metro