Padang Besar: Sebanyak 410 kilogram (kg) sayur-sayuran dan buah-buahan bernilai RM3,120 dari Thailand dirampas Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Negeri Perlis kerana didapati cuba dibawa masuk ke negara ini tanpa permit import yang sah.
Pengarah MAQIS Perlis, Mohamad Arshad Raffin berkata, kejadian berlaku pada Khamis lalu sekitar jam 6 petang apabila anggota bertugas menahan sebuah lori yang yang bernombor pendaftaran negara jiran itu di Unit Kargo, Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQS) Padang Besar, di sini.
“Pemeriksaan selanjutnya yang dijalankan oleh pegawai MAQIS yang bertugas menjumpai kacang tanah, buah mangga, ubi keladi serta ubi kemili seberat 410 kilogram (kg) yang dianggarkan bernilai RM3,120.
“Bagaimanapun, kita mendapati semua bekalan sayur-sayuran dan buah-buahan itu tidak mempunyai permit import yang sah dan ini menyebabkan kita terpaksa merampas bekalan itu untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan kepada media hari ini.
Katanya, perbuatan mengimport atau mengeksport dagangan tanpa permit yang sah boleh disiasat mengikut Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 11(3) akta yang sama.
“Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya.
“Kita sentiasa komited dalam melakukan pemeriksaan keluaran pertanian di setiap pintu masuk negara bagi memastikan tumbuhan, haiwan, keluaran pertanian dan perikanan serta mikroorganisma yang diimport ke negara ini bebas ancaman perosak, penyakit dan bahan cemar serta mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan kerajaan,” katanya.
Sumber: My Metro