Mara Ke Pusingan Kedua Piala FA, Ketua Jurulatih TFC Puji Semangat Juang Pemain

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA NERUS – Ketua jurulatih Terengganu FC (TFC) Nafuzi Zain memuji semangat juang tinggi yang ditunjukkan anak buahnya pada perlawanan pusingan pertama Piala FA menentang Negeri Sembilan FC (NSFC) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), malam tadi.

Pengendali berusia 44 tahun itu berkata semua pemainnya memberikan komitmen terbaik ketika di atas padang sehingga membolehkan mereka meraih kemenangan 2-1 ke atas NSFC, sekali gus layak ke pusingan kedua Piala FA musim ini.

Malah, prestasi pemain mudanya juga dilihat semakin baik apabila mampu menyerap tekanan dalam perlawanan berintensiti tinggi dengan skuad kendalian ketua jurulatih berpengalaman K.Devan yang memiliki kualiti pemain import dan tempatan terbaik musim ini.

“Tahniah dan terima kasih kepada pemain yang berusaha keras dan memberikan komitmen penuh dari seawal minit pertama hingga akhir perlawanan.

“Kita sedar dengan kualiti yang ada pada pemain NSFC, bukan mudah untuk TFC mencipta kemenangan. Namun, secara keseluruhan saya amat berpuas hati kerana mereka telah menunjukkan peningkatan prestasi yang ketara akhir-akhir ini,” katanya selepas perlawanan menentang NSFC di SSMZA malam tadi.

Dengan kemenangan itu, TFC dijadual bertemu Kedah pada perlawanan pusingan kedua Piala FA yang akan berlangsung Jun ini.

Sementara itu, K.Devan berkata faktor keletihan pemain dan kegagalan pasukannya mencipta banyak peluang untuk menjaringkan gol menjadi punca utama skuad Hobin Jang Hobin tewas di laman lawan.

Bagaimanapun beliau akui tidak berasa terkilan dengan kekalahan itu kerana lebih memberi tumpuan kepada saingan Liga Super.

“Kami memang tak menaruh harapan pada Piala FA kerana sedar ini pertandingan kalah mati. Terengganu pastinya tidak akan melepaskan peluang ini untuk menang di laman sendiri.

“Sebagai pendatang baharu dalam Liga Super, kita lebih fokus kepada pertandingan itu malah prestasi pasukan dalam liga juga sangat baik ketika ini,” katanya yang ketika ini masih mengekalkan rekod tanpa kalah dalam lima perlawanan Liga Super.

Sumber: BERNAMA