Maritim Malaysia Terengganu Lupus 137 Bot Nelayan Asing

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

MARANG – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia Terengganu melupuskan 137 bot nelayan milik warga asing membabitkan anggaran nilai keseluruhan sebanyak RM202.5 juta.

Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli, berkata pelupusan bot nelayan itu dilakukan dengan kaedah hancur musnah.

Beliau berkata, hari ini dua bot nelayan Vietnam dilupuskan di Marang.

Katanya, bot terbabit ditahan Kapal Maritim (KM) KM Gemia dan KM Tegas menerusi Op Naga Barat dan Op Kuda Laut dan sudah dilucut hak oleh mahkamah tahun lepas atas kesalahan menceroboh dan menangkap ikan di perairan negara.

“Pelupusan secara hancur musnah ini adalah tindakan tegas Maritim Malaysia dalam memerangi pencerobohan bot nelayan asing terutamanya dari Vietnam.

“Semua bot terbabit disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 15(1) dan 16(3) Akta Perikanan 1985 kerana memasuki perairan perikanan Malaysia tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan Malaysia,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Katanya, denda mahkamah bagi dua bot berkenaan adalah sebanyakRM1.5 juta.

Muhammad Suffi berkata, ia adalah pelupusan kali kedua dilakukan tahun ini dan masih terdapat 30 bot lagi berada di Pusat Tahanan Vesel (PTV) Maritim Negeri Terengganu, PTV Zon Maritim Kemaman dan PTV Bukit Datu menunggu masa untuk dilupuskan.

Beliau berkata, Maritim Malaysia akan terus melaksanakan rondaan untuk mengesan kegiatan pencerobohan nelayan asing dan juga s barang bentuk aktiviti yang melanggar undang-undang di sekitar perairan Terengganu.

“Jadinya, kita meminta kerjasama masyarakat terutama komuniti maritim untuk melaporkan sebarang maklumat perlakuan yang melanggar undang-undang dan kejadian kecemasan yang berlaku di perairan negara di talian MERS 999,” katanya.

Sumber: BERITA HARIAN