Maritim Terengganu Gagalkan Cubaan Seludup Rokok Bernilai RM350,000

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA TERENGGANU – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Terengganu telah menggagalkan cubaan menyeludup masuk 330,000 rokok putih dianggar bernilai hampir RM350,000 di Pulau Karah yang dijadikan transit untuk memasuki pasaran tempatan.

Pengarahnya, Kepten Maritim Muhammaf Suffi Mohd Ramli berkata, semasa rondaan pemantauan sekitar jam 6 petang kelmarin, pada kedudukan 1.5 batu nautika dari Pulau Bidong, pihaknya menemui beberapa bungkusan plastik lut sinar berisi rokok putih.

“Hasil pemerhatian mendapati ia sengaja ditinggalkan dan tiada kelibat bot berhampiran di kawasan berkenaan.

“Diyakini dibawa masuk dari negara luar ke perairan negeri ini yang didalangi warga tempatan yang menjadikan pulau ini sebagai tempat transit yang strategik kerana tidak berpenghuni,” ujarnya. 

Beliau berkata demikian pada sidang media rampasan rokok di Bilik Mesyuarat Ibu Pejabat Maritim negeri, di sini, pada hari ini.

Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d), Akta Kastam 1967.

“Memperuntukkan hukuman denda tidak kurang 10 kali ganda nilai atau RM 100,000 (yang mana lebih tinggi) dan denda tidak lebih 20 kali ganda nilai barangan.

“Atau RM500,000 atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” ujarnya.

Sehubungan itu katanya, kawalan di sempadan perairan negeri ini akan terus dipertingkatkan.

“Maritim Malaysia juga giat memperincikan siasatan dengan menggunakan sumber yang ada bagi mengesan dan memburu suspek.

“Sebarang pelanggaran undang-undang, aktiviti penyeludupan, pencerobohan dan lain-lain kegiatan jenayah di dalam Zon Maritim Malaysia ini akan diambil tindakan tegas tanpa kompromi,” tegasnya.

Sumber: TRDI News