Setiap manusia mempunyai taraf kehidupan masing-masing. Pada pandangan mata kasar manusia, kita menyaksikan ada golongan yang hidup kaya dan mereka berada pada kedudukan yang istimewa kerana orang lain mengangkat mereka.
Golongan ini biasanya mendapat pujian daripada manusia lain, malah sering disanjung kerana kedudukannya.
Ada pula golongan yang kehidupannya serba kekurangan. Mereka terpaksa meraih simpati daripada orang sekeliling. Tidak punya harta apatah lagi kedudukan tinggi dalam masyarakat.
Begitulah lumrah kehidupan dunia yang mewujudkan perbezaan antara seroang insan dengan insan yang lain. Sebenarnya perbezaan itu ditakrifkan oleh manusia sendiri.
Harta, pangkat, jawatan, keturunan antara perkara yang dijadikan asas dalam membezakan kedudukan manusia. Walhal hakikatnya manusia yang istimewa di sisi Allah SWT ialah yang memiliki takwa.
Firman Allah SWT dalam Al-Quran:
اِنَّ اَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللّٰهِ اَتْقٰىكُمْ ۗاِنَّ اللّٰهَ عَلِيْمٌ خَبِيْرٌ
“Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu)”. (Surat Al-Hujurat, ayat 13)
Kebanyakan manusia inginkan kedudukan yang tinggi di mata manusia lain. Kedudukan ini membuatkan diri berasa istimewa dan memilki kelebihan tertentu.
Sebenarnya kedudukan tinggi menurut pandangan manusia tidak semuanya benar. Malah, kebanyakannya adalah palsu kerana penilaian yang dibuat oleh manusia tidak pernah sempurna dan adil.
Perkara yang lebih utama adalah untuk mendapat kedudukan yang istimewa di sisi Allah SWT.
Tidak ada yang lebih bernilai selain daripada mendapat keampunan daripada Allah SWT. Keampunan daripada Allah SWT sahaja yang akan melayakkan diri seseorang memperoleh nikmat yang disediakan oleh-Nya, bukan sahaja di dunia, tetapi juga di akhirat nanti.
Disebabkan semua kelebihan itu tidak dapat dilihat dengan mata kasar, maka ramai yang mengabaikannya.
Rasulullah SAW menjelaskan beberapa perkara yang sekiranya dilakukan seseorang Muslim, maka dirinya akan diampuni oleh Allah SWT. Bukan itu sahaja, malah kedudukannya turut diangkat oleh-Nya.
Rasulullah SAW menjelaskan bahawa untuk mendapat keistimewaan ini, maka setiap Muslim perlu bersungguh-sungguh melakukannya.
Rasulullah SAW bersabda mafhumnya:
“Mahukah kalian aku beritahu sesuatu yang dengannya Allah menghapuskan dosa-dosa dan mengangkat darjat kalian ?” Para sahabat menjawab: “Sudah tentu, wahai Rasulullah”.
Baginda bersabda: “Menyempurnakan wuduk ketika diri merasa berat (untuk berwuduk), memperbanyakkan langkah ke masjid serta menunggu solat selepas menunaikan solat sebelumnya. Maka itulah ribat (jihad), maka itulah ribat (jihad)”. (Hadis Riwayat Muslim)
Tiga perkata yang perlu diusahakan setiap Muslim untuk mendapat keampunan daripada Allah SWT serta memperoleh kedudukan yang tinggi di sisi-Nya.
Pertama ialah menyempurnakan wuduk tatkala diri berasa berat atau malas untuk melakukannya. Ketika nafsu menguasai diri, ia dilawan dan wuduk diambil dengan cukup sempurna, bukan sekadar mengenakan air ke anggota wuduk semata-mata.
Ketelitian ini yang menyebabkan perbuatan mengambil wuduk terbabit diganjari dengan ganjaran yang istimewa.
Kedua ialah menperbanyakkan usaha untuk ke masjid bagi menunaikan solat. Sesungguhnya hati yang sentiasa terikat dengan masjid membuktikan usaha murni mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Ramai orang ke masjid hanya untuk menunaikan solat fardhu Jumaat. Sepatutnya setiap diri perlu berusaha untuk ke masjid bagi menunaikan solat fardhu lima waktu yang lain.
Amalan ketiga pula merujuk perbuatan menunggu solat fardhu yang seterusnya selepas selesai menunaikan solat fardhu sebelumnya.
Hal ini tidak bermakna setiap Muslim hanya perlu duduk atas sejadah setiap masa. Ia adalah gesaan supaya hati sentiasa meningati Allah SWT.
Ia menjadi bukti diri sedar bahawa sememangnya penciptaannya di dunia ini untuk beribadah kepada Allah SWT.
Paling tidak, manfaatkan masa menunggu waktu solat Isyak sebagai antara usaha penantian solat selepas menunaikan solat Maghrib.
Manfaatkan masa itu dengan ibadah khusus seperti membaca Al-Quran, berzikir dan yang juga penting menimba ilmu agama menerusi kuliah atau tazkirah.
Selain itu, perkara yang dapat meningkatkan darjat seseorang di sisi Allah SWT ialah membabitkan ilmu. Menuntut ilmu adalah antara amalan yang amat dituntut Islam kerana ia membawa kepada pelbagai kebaikan.
Tanpa ilmu pengetahuan, seseorang itu tidak akan dapat melakukan ibadat kepada Allah SWT dengan sempurna. Malah, amalan boleh tertolak tanpa ilmu yang betul khusunya berkaitan ibadah.
Allah SWT meletakkan kedudukan orang berilmu lebih tinggi dan mulia di sisi-Nya. Terdapat beberapa ayat dalam Al-Quran yang secara jelas menyatakan kelebihan orang yang berilmu daripada yang lainnya.
Antara Firman Allah SWT:
يَرْفَعِ اللّٰهُ الَّذِيْنَ اٰمَنُوْا مِنْكُمْۙ وَالَّذِيْنَ اُوْتُوا الْعِلْمَ دَرَجٰتٍۗ وَاللّٰهُ بِمَا تَعْمَلُوْنَ خَبِيْرٌ
“Allah meninggikan darjat orang yang beriman di antara kamu dan orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (daripada kalangan kamu) beberapa darjat. Dan (ingatkah) Allah Maha Mendalam pengetahuan-Nya mengenai apa yang kamu lakukan”. (Surah Al-Mujadalah, ayat 11)
قُلْ هَلْ يَسْتَوِى الَّذِيْنَ يَعْلَمُوْنَ وَالَّذِيْنَ لَا يَعْلَمُوْنَ ۗ اِنَّمَا يَتَذَكَّرُ اُولُوا الْاَلْبَابِ ࣖ
“Katakanlah lagi (kepadanya): Adakah sama orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang yang berakal sempurna”. (Surah Az-Zumar, ayat 9)
Rasulullah SAW turut menyatakan bahawa darjat orang yang berilmu lebih mulia daripada orang yang tidak memiliki ilmu.
“Sesiapa yang menempuh jalan untuk menuntut ilmu, maka Allah akan memudahkan baginya jalan menuju ke syurga dan para malaikat akan merendahkan sayapnya memayungi penuntut ilmu serta semua penghuni bumi dan langit dan ikan dalam lautan, semuanya memohon keampunan buat mereka dan sesungguhnya keutamaan darjat seorang ‘alim (ahli ilmu) ke atas seorang ‘abid (ahli ibadah) seperti keutamaan bulan purnama berbanding bintang-bintang”. (Hadis Riwayat Abu Daud)
Ilmu serta ahlinya mempunyai kedudukan istimewa di sisi Allah SWT. Usaha memperoleh kemudahan menuju ke syurga-Nya dan mendapat doa keampunan daripada makhluk-Nya adalah antara ganjaran besar khusus untuk mereka yang berada dalam kelompok ahli ilmu atau dalam usaha untuk menuntut ilmu.
Ketinggian martabat ahli ilmu berbanding ahli ibadah turut memberi gambaran yang amat jelas bahawa segala amal ibadat akan menjadi sia-sia sekiranya dilaksanakan tanpa ilmu.
Allah SWT menjelaskan segalanya mengenai perkara yang boleh meningkatkan darjat seseorang manusia di sisi-Nya.
Semua perkara yang melayakkan seseorang dinaikkan darjatnya bukan perkara berat kerana semuanya mampu dilakukan setiap orang yang berusaha mendapatkannya.
Allah SWT membuka jalan-Nya supaya manusia berusaha menjadi hamba yang berada pada darjat kedudukan yang istimewa. Apakah ada lagi alasan kita untuk tidak menjadi hamba-Nya yang istimewa?
Sumber : HARIAN METRO