Masa Kian Singkat, Bersegeralah Dalam Bertaubat

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Kredit : Freepik

Sebagai orang awam, kita mudah sekali terdedah kepada dosa dan maksiat. Ditambah dengan teknologi di hujung jari, tulis sahaja apa yang kita mahu cari di butang carian, maka segala informasi yang kita ingin dapatkan akan terbentang luas. Itu andaikata kita mencari informasi, namun teknologi hari ini juga memudahkan pencarian perkara-perkara yang dihalang oleh Islam misalnya menonton video lucah, menonton sesuatu yang melalaikan dan sebagainya.

Apabila menulusuri sirah dan sejarah, zikir dan fikir adalah dua perkara kebiasaan bagi para Ulama’. Dalam hidup yang sehari-hari, tiadalah waktu yang berjalan tanpa zikir. Dan tujuan mereka berzikir pada hakikatnya adalah untuk melakukan taubat meskipun pada hakikatnya Ulama jarang sekali melakukan dosa-dosa kecil mahupun besar. Taubat dilakukan kerana ia adalah jalan untuk menghampiri Allah SWT kerana dengan bertaubat, dosa akan diampunkan dan mudahlah untuk melakukan kebaikan kerana dosa tidak lagi jadi penghalang.


Betapa waktu yang ada sungguh singkat, namun kita masih mensia-siakannya. Imam Ibn Al-Jauzi berpesan, “Sesiapa yang tahu bahawa umur itu ialah kelengkapan yang terhad untuk dia gunakan bermusafir ke alam yang kekal di syurga, pasti dia tidak akan mensia-siakannya.” Waktu yang ada ini perulah kita gunakan untuk bertaubat, agar baki usia tidak dimurkai dan sentiasa meraih keberkatan Allah SWT.

Pintu keampunan sentiasa terbuka luas


“Sesungguhnya Tuhanmu Maha Luas keampunanNya” [Surah an-Najm 32]
Sebagai hamba yang lemah, kita perlu sentiasa mengakui bahawa kita adalah insan yang sering melakukan dosa. Namun, rahmat Allah terlalu luas, pintu keampunan sentiasa terbuka. Imam Ibn Manzur rahimahullah dalam Lisanul Arab berkata Taubat ialah “kembali kepada Allah daripada dosa, kembali kepada Allah sahaja atau kembali mentaati selepas melakukan dosa, atau memberi maksud kembali daripada dosa.”


Daripada Abu Hurairah RA, bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda, Maksudnya: “Demi Allah, sesungguhnya aku beristighfar kepada Allah dan memohon ampun kepada-Nya setiap hari lebih daripada 70 kali”. [Riwayat al-Bukhari (6307)]

Bertaubatlah dengan sebenar-benar taubat


Bagi yang ingin bertaubat, atau sudah berada dalam perjalanan taubatnya, perlulah kita ambik perhatian akan syarat-syarat sah taubat menurut menurut Syeikh Zarruq Al-Fasi dalam karyanya I’anah al Mutawajjih al Miskin. Berkata Syeikh Zarruq Al Fasi bahawa syarat-syarat sah taubat ada tiga, iaitu:

  1. Mencela diri dalam perbuatan buruk yang kita lakukan sebelum ini (Maknanya megutuk akan perbuatan maksiat yang kita lakukan dan merasakan perbuatan maksiat yang dilakukan adalah perbuatan yang sangat hina. Andaikata seseorang melakukan umpatan, beliau merasakan bahawa perbuatan umpatan itu merupakan perbuatan yang sangat hina dan berdosa besar)
  2. Tidak melakukan atau mengulangi perbuatan dosa yang pernah dilakukan
  3. Niat tidak akan melakukan kembali dosa yang pernah dilakukan

Manakala Syeikh Zarruq Al-Fasi menyambung lagi dalam penulisannya bahawa syarat-syarat untuk teguh dalam bertaubat, ada 3 perkara :

  1. Menjadikan niat taubatnya menyeluruh (Berazam untuk berhijrah daripada dosa sepenuhnya)
  2. Melaksanakan segala hak-hak yang wajib bagi Allah (daripada ibadah solat, puasa, zakat dan kafarah)
  3. Mengembalikan harta orang yang kita pernah berbuat zalim padanya. (Jika kita pernah mencuri maka pulangkan semula harta yang pernah diambil, jika kita memfitnah maka bersihkan kembalikan semula “maruah” seseorang daripada fitnah yang pernah kita lakukan)

Semoga dengan azam untuk bertaubat, kita akan memperoleh taubat nasuha yang merupakan setinggi-tinggi darjat dalam bertaubat. Taubat kita itu juga merupakan taubat yang ikhlas dalam mencari redha Allah dan memperbaiki diri kita ke arah kebaikan.

Rujukan:

  1. Karya I’anah al Mutawajjih al Miskin, karya Syeikh Zarruq Al-Fasi