Masak Di PPS Jika Terputus Hubungan – JKM

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Tumpat: Persediaan rapi akan dijalankan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk berdepan banjir yang dijangka melanda beberapa lokasi di negeri ini bermula esok.

Pengarah JKM Kelantan Said Sidup berkata, berdasarkan ramalan yang diterima, kemungkinan gelombang kedua yang akan melanda esok dijangka lebih besar daripada sebelum ini dan sehubungan itu persiapan rapi akan dititikberatkan terutama dari segi agihan bekalan makanan.

Beliau berkata, pihaknya juga bersedia untuk menjalankan inisiatif lain iaitu memasak sendiri di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sekiranya berdepan dengan situasi terputus hubungan.

“Umum mengetahui bahawa dalam tempoh pandemik, mangsa dibekalkan dengan makanan yang sudah dimasak oleh katerer yang dilantik di setiap PPS.

“Kita bimbang jika gelombang kedua nanti ada PPS yang terkepung dan menyebabkan urusan agihan makanan tidak boleh dilakukan maka inisiatif memasak sendiri di PPS terpaksa dibuat.

“Jika berlaku demikian, kami akan menghantar bekalan makanan mentah yang akan dimasak di PPS itu bergantung kepada kesesuaian lokasi dan jika tidak sesuai, makanan masak perlu juga dihantar dalam apa jua cara sekalipun,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

SAID Sidup (kiri) melihat keadaan warga emas, Nik Hassan Nik Abas, 73, yang menghidap Parkinson di Kampung Surau, Pasir Pekan di sini. FOTO Siti Rohana Idris
SAID Sidup (kiri) melihat keadaan warga emas, Nik Hassan Nik Abas, 73, yang menghidap Parkinson di Kampung Surau, Pasir Pekan di sini. FOTO Siti Rohana Idris

Terdahulu beliau ditemui ketika menziarah penghidap Parkinson, Nik Hassan Nik Abas, 73 di Kampung Surau, Pasir Pekan di sini.

Said berkata, dari segi gerak kerja, pihaknya masih mengekalkan 354 kakitangannya yang akan bertugas di seluruh lokasi yang terjejas banjir.

Katanya, bekalan makanan yang diletakkan di pangkalan hadapan juga sentiasa sedia untuk diagihkan manakala seramai 160 katerer yang dilantik pula akan mengagihkan makanan sedia dimasak ke PPS yang dibuka.

“Tidak ketinggalan juga bagi masyarakat Orang Asli di Gua Musang yang mana selain JKM, mereka juga sentiasa diambil perhatian oleh pihak lain termasuk Jabatan Kemajuan Orang Asli serta Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan.

“Trend banjir di Kelantan tidak begitu ketara perbezaannya setiap tahun namun begitu beliau tetap mengambil kira tragedi bah kuning yang melanda pada 2014 sebagai penanda aras.

“Kita bersedia menghadapi apa-apa kemungkinan sebab kita tidak tahu ramalan sejauh mana kesan banjir nanti dan persiapan kita akan melihat kepada keperluan dan kesesuaian keadaan mangsa itu sendiri,” katanya.

Sumber: My Metro